Khamis, 18 Disember 2014

Dapur Kayu



Bila melihatkan gambar dapur kayu ni, Yop akan segera teringat pada opah Leha yakni mak kepada abah. Rumah opah tak jauh dari rumah Yop. Tak jauh juga dari rumah Jet dan rumah Lemi.

Laman rumah opah ada pokok manggis. Di bawah pokok manggis inilah Yop selalu bermain dengan kawan-kawan. Redup dan sejuk walaupun tengahari itu panas. Tanahnya pula tidak keras kerana bersemba. Semba ini lebih halus dari pasir.

Masa Yop kecik-kecik dulu, dapur seperti inilah tempat Yop memasak nasi, goreng ikan, masak koi lempeng dan sambal tumis untuk makan bersama adik-adik Yop - Kedek, Matun, Niza, Napi, Duyah dan Darul. Masa tu mereka masih hingusan. Kekadang ditepi pipi berkeretang dengan hingus yang kering kerana dipalit dengan pergelangan tangan begitu saja.

Bila musim hujan dan kasut sekolah tak sempat kering, kat tepi dapur inilah Yop diangkan supaya boleh kering. Kekadang hingga terbau getah kasut dek panas bara.

Yang bestnya, bila nak hidupkan api. Ranting kayu memang tak susah nak cari. Depan rumah ada kebun getah Wan Jaba. Ambil aje satu ranting yang jatuh dah boleh buat untuk memasak. Ranting pokok getah memang senang nak hidupkan api.

Sebagai starter, Yop kerat getah tiub basikal yang memang siap tergantung kat tepi. Tengit bau getah tayar terbakar, cepat-cepat yop selitkan di celah-celah ranting kayu yang dah siap Yop susun antara 2 tungku. Asap hitam berkepul naik ke atas.

Kalau api terpadam dan nak hidupkan semula,  Yop guna tudung periuk untuk mengipas. Atau kalau canggih sikit guna buluh atau silinder loyang.

Nasib tak baik, bukannya api yang menyala tapi abu dapur itu yang berterbangan ke muka...ha..ha..

Isnin, 6 Oktober 2014

Getah Keping



Tahun 60an adalah tahun-tahun dimana kehidupan kebanyakan penduduk Kepayang adalah susah termasuk keluarga Yop. Selain melanda bijih timah di sungai, mak Yop juga menoreh getah. Mak pernah menoreh getah Pak Din (rumah 2 tingkat warna putih bertiang biru). Hasil jualan getah akan dibahagi dua dengan Pak Din.

Subuh-subuh lagi Mak dah pergi. Bertemankan pelita minyak tanah yang diikat ke dahi, Mak meredah pekat malam ke kebun getah yang sunyi malah menyeramkan kalau tak kuat semangat. Sabar menoreh dari satu pokok ke satu pokok. Huu... Baru sekarang Yop dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan Mak Yop membantu abah demi menyara kami, anak-anaknya...

Tengahari baru mengangkit getah dan membawanya ke tempat memproses getah untuk dijadikan getah keping.

Lokasinya di belakang rumah Pak Din. Kena turun cerun sikit ke arah lembah. Kalau ke bawah lagi akan jumpa telaga; tempat aku, Nik dan Lemi selalu mandi. Kat situ juga ada paya yang banyak tumbuh paku pakis. Jauh sikit ke depan ada sungai tempat kami selalu mandi.

Susu getah yang sudah diangkit akan dituang ke dalam petak-petak tin. Kemudian dibubuh cuka getah dan dikacau perlahan-lahan hingga menjadi likat. Bila dah kering akan di lenyek-lenyekkan supaya ianya leper. Mulanya dilenyekmenggunakan tangan kemudian guna kaki.

Bila dah leper, getah keping ini akan dimasukkan ke dalam mesin penggelek (gambar atas). Mesin penggelek ini ada 2 jenis. Yang pertama guna untuk meleperkan getah hingga ke ketebalan yang diperlukan. Selepas puas hati dengan saiz ketebalan itu baru dipindahkan ke mesin satu lagi untuk gelekan berbentuk bunga. Di akhir menggelek akan di letakkan satu plet yang dah ditebuk huruf atau nombor (mungkin untuk menandakan kod getah itu).

Selepas siap digelek getah itu akan dibawa balik ke rumah dan dikeringkan.  Sebab itu bagi penoreh getah, setiap rumah akan ada penyidai getah yang diperbuat dari buluh panjang. Dan selalunya, kuku tangan dan kuku kaki penoreh getah akan buruk dan rosak penangan dari cuka getah yang digunakan.

Seingat Yop, penyidai getah kat rumah Opah  Yop ( Zaleha ) ada di bawah rumah (tentang penyidai getah ini, ada satu cerita yang menjadi kenangan aku sebenarnya. Nanti aku ceritakan).

Nak tahu kat mana rumah Opah Yop dulu?  Kalau dari rumah Yop menuju ke rumah Pak Din di kiri jalan, kemudian jumpa rumah Jet di kanan jalan maka selepas rumah Jet itulah rumah Opah. Sekarang rumah itu sudah tiada lagi. Ah... Itu satu kenangan lain pula!

Khamis, 2 Oktober 2014

Yop


Kali ini Yop tak bercerita tentang sejarah nama Yop. Yop percaya, ramai dari adik-adik Yop tak tau pun tentang ini.

Yop sebenarnya dilahirkan di Kampung Slim, Slim River. Maklumlah anak pertama Mak, mestilah dilahirkan di rumah emak kepada Mak yakni Opah di Slim walaupun sebenarnya rumah mak dan abah adalah di kampung Kepayang.

Nama Yop diberi oleh Tok Uda (kalau tak silap); sebab itulah ada sikit bau Arab. Oleh kerana Yop selalu sakit, Yop dipanggil dengan nama Toha sempena surah Toha dalam Al Quran. Tapi agaknya dek susah sangat, hari-hari nak sebut Toha akhirnya bertukar menjadi Ta'a.

Sebaliknya,  nama Ta'a itu menjadi lebih popular di Kampung Kepayang berbanding di Kampung Slim. Di Kampung Slim Yop digelar dengan nama Cho'ih (he.. he.. macam mana nak sebut, kena berguru dengan Yop..). 

Bila mula masuk sekolah barulah kawan-kawan panggil dengan nama Yop yang sebenarnya.

Rabu, 17 September 2014

Buluh Dan Sungai


Dulu, kat belakang rumah Yop ada banyak pokok buluh. Ada buluh pagar, ada buluh lemang. Tak perlu jauh-jauh dan susah-susah kalau nak cari buluh. Buluh pagar ni tebal kulitnya. Buluh lemang pulak nipis. Tapi sekarang ni disebabkan nafsu cari duit lebih besar dari menanam, buluh lemang semakin pupus. Apa yang berlaku ialah buluh pagar pun diguna untuk buat lemang.

Tapi buluh tu bukanlah tumbuh di atas tanah milik keluarga Yop. Belakang rumah tu sebenarnya masa tu kepunyaan Pak Nazir, Bapa Lemi... kalau tak salah lah. Mak Lemi Yop panggi Wan Jaba. Walaupun mulutnya beghet tapi hati baik.

Kalau nak buat meriam rasanya buluh-buluh di belakang rumah Yop tu tak bolehlah sebab ruas dan garis pusatnya kecil.

Yop masih ingat masa balik ke Kampung Slim dulu, ikut Pak Long dan keluarga berkelah di Sungai Matahari. Deme masak nasi dalam buluh. Memang sedapnya lain dari masakan guna periuk. Makan dengan ikan masin bakar.  Lepas makan, mandi sungai. Kemudian makan... mandi. Apa lagi keghoje nyer... bebudak...

Kata mak... ayo tu datang dari bukit. Ayo ni nin aje ghopenyer. Boleh minum gitu aje. Tak gaduh le sakit peghut. Sedap.

Kalau kat rumah Yop, sungai yang selalu kami pergi mandi ialah Sungai Kak Sitah. Agaknya sebab sungai tu di belakang rumah Kak Sitah. Siapa Kak Sitah tu Yop dah tak ingat. Di mana lokasi Sungai Kak Sitah tu pun Yop dah lupa. Mungkin agak-agaknya di belakang rumah Jaa. Agak-agaknyalah.

O iya.. sebut nama Jaa ni, manalah perginya dia.  Bila balik kampung, tak pernah terjembong.

Kalau zaman masak-masak dan kondang-kondi dulu - Nik, Jama, Kulop, Din Dali, Jet, Lemi, dan Meli adalah antara kawan-kawan sepermainan; Jaa pula jadi kawan baik Yop bila dah masuk peringkat sekolah menengah.

Nantilah... senang-senang dan ada idea, Yop cerita...

Takat ni dulu. Dah tengahari. Nak tengok dapur pulak. Masak apa yang patut. Pandai tu idak ler... Masak untuk adik-adik zaman kecik-kecik dulu. Mak... subuh sepi'e dah pergi nogheh pokok getah kebun Wan Jaba

Selasa, 16 September 2014

Belasungkawa


Adik Yop yang ke 5, Haniza akhirnya pergi jua menghadap Ilahi setelah bergelut dengan kanser selama beberapa tahun. Bila Yop dapat tahu dari suaminya Samsudin petang 8 hb bahawa Niza dah mula meluahkan apa yang dimakan, Yop nekad untuk cepat-cepat balik.

Yop cuma dapat ziarah Niza pada malam hari esoknya saja. Itupun amat susah nak dapat parkir dekat dengan bibir hospital. Yop nekad tinggalkan yong sendirian di kereta walaupun jauh.

Melihat keadaan Niza yang semakin kritikal; juga berpandukan firasat bahawa 'ia'nya tidak lama,Yop ambil keputusan di luar kebiasaan dengan bermalam di rumah mak walaupun tahu bahwa Yop akan berhadapan risiko menguruskan Yong. Tapi alhamdulillah, Yong pula begitu ok selama bermalam di rumah mak.

9 hb, setelah berbincang dengan Zan, sepupu Yop yang kebetulan jururawat berbaju biru di situ dan dengan doktor yang bertanggungjawap, Niza tidak akan dibuat CPR sebaliknya hanya akan di beri alat bantuan pernafasan.

Pernafasan Niza semakin sukar. Yop selaku anak paling sulong terpaksa memain peranan membuat keputusan dan mengurus suasana. Pengalaman Yop sebagai penyelia semasa kerja, ajk pertubuhan dan biasa menerima tekanan selama menjaga sakit Yong lebih 5 tahun digunakan sebaiknya. Semua adik beradik dan anak-anak Yop dikerah balik sesegera mungkin.

Mak pun terpaksa di bawa datang juga walaupun dalam kepayahan berkerusi roda. Tenang saja wajah mak menunjukkan kebersediaanya menerima apa juga kemungkinan. Yop meraba kaki Niza... sejuk. Perhatikan sebahagian anggota Niza yang dah 'jatuh'.

Pagi 10 hb kira-kira jam 10, Yop mendapat panggilan dari Duyah yang setia menjaga Niza, bahawa Yop diperlukan untuk membuat keputusan keadaan Niza di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang di rasakan sudah 'tiada' lagi. 

Bergegas membawa 3 anak-anak Niza ke hospital. Yong pula Yop tinggalkan di rumah. Tak mahu fikir pasal Yong buat sementara sebaliknya fokus pada Niza. Yop cuba bersikap tenang dan berhati-hati. 

Sesampai di hospital, seperti yang Yop jangka, anak-anak Niza baru dapat merasai apa sebenarnya yang sedang dan bakal berlaku. Niza benar-benar sudah 'pergi'.

Hampir semua adik beradik Yop ada di hospital. Keputusan di buat supaya semua urusan mandi dan solat jenazah dibuat di hospital. Yop tugaskan Napi menguruskan soal korek liang dan bagi tahu Imam Lan sementara ipar yang berada di rumah dikerah menyiapkan ruang untuk jenazah diletakkan nanti.

Mamat adalah antara adik Yop yang begitu tekun tanpa bantah membuat apa saja yang Yop arah. Kesian juga Yop melihat dia.

Jenazah di bawa ke bangunan Forensik untuk dimandi, kafan dan disolatkan. Ini adalah pengalaman kali pertama Yop. Dan Yop perlu tunjukkan ketenangan, bersikap 'YES' dalam apa juga tugas yang dipikulkan. Pada Din Yop bagitau, jangan risau pasal duit dan semua urusan Yop yang akan buat. Din cuma perlu tandatangan dan rai sesiapa yang datang sahaja. Cuma Yop letakkan sikit tanggungjawap pada Alep selaku anak lelaki Niza yang sulong. Yop juga anak sulong seperti dia... justeru Yop tahu seberat mana tanggungjawap yang bakal dipikul oleh Alep.

Jam 1 jenazah di bawa balik ke rumah. Orang sudah ramai memenuhi setiap ruang laman. Sanak saudara mula datang. 

Ini pengalaman pertama menguruskan mayat. Baru terasa betapa 'jahil'nya Yop. Beberapa perkara Yop terlepas pandang dan tidak tahu nak buat apa bila disoal oleh adik-adik yang juga mungkin pertama kali. Sebelum ini kebanyakannya diurus oleh abah, mak atau saudara tapi kini kebanyakan mereka sudah tiada dan kamilah yang mau tidak mahu mengambil aleh tugasan.

Ramai orang minta jenazah disolatkan juga di masjid kampung walaupun sudah dilaksanakan di bilik mayat tadi. Imam Lan minta dikebumikan dalam pukul 2 walaupun pelan asal sekitar jam 4 petang. Yop tersepuk di kerusi rumah Duyah bila otak jadi buntu. 

Setelah meminta pandangan Pak Long dan abang Tan, akhirnya Yop beri lampu hijau untuk mayat diturunkan. Seperti lazimnya jenazah, Yop kuatkan diri berdiri di atas tangga rumah walaupun bab bercakap di depan public ni Yop memang tak pandai. Memberi ucapan terima kasih kepada hadirin dan meminta agar redha dan halalkan setiap kesalahan dan makan minum Niza semasa hayatnya dulu.

Setelah 3 kali dibacakan Fatihah, jenazah diarak ke masjid. Setelah disembahyangkan, dimasukkan ke liang dan ditalkinkan, 

Yop menghela nafas panjang. Yop dapat rasakan bahawa Yop masih beruntung dapat menghirup udara di dunia; sempat membuat persediaan sebelum menyusuli Niza dan abah ke alam barzakh.


pautan berkaitan:
kemas ipoh barat
kemas parit

Ahad, 7 September 2014

Si Bolen

Geghotak lama. Mungkin di hujung gehotak inilah adanya
pokok besar itu!

Bila bercerita tentang kisah Pak Jemut, tak lengkap rasanya kalau tak sentuh kisah dia dengan si Bolen. Kenapa digelar Bolen mungkin sebab Cina yang kudung kaki sebelah kirinya ini tak pernah Yop lihat memakai baju. Asyik berseluar pendek gelebeh ala-ala polis zaman British dulu. Tali pinggang pulak guna tali.

Mereka berdua ini ibarat pasangan lagenda Kampung Kepayang. Sesiapa yang seusia Yop pasti tidak akan asing lagi dengan keletah mereka.

Tak ingat sangat samada pagi atau tengahari, pasti akan dapat tengok mereka berdua memotong kayu di hujung geghotak. Kat situ ada satu pokok besar yang banirnya juga besar. Di celah-celah banir itulah Pak Jemut dan Bolen mengapak dan kemudiannya mengikat kayu... seberkas demi seberkas.

Riuh mulut si Bolen mengarah Pak Jemut meletakkan kayu. Maklumlah, Pak Jemut tiada penglihatan... jadi kerjabuatnya terbatas. namun sikap Pak jemut yang 'mungkin' tak ambil hati sangat dengan marah-marah si Bolen; dan si Bolen pula masih tetap setia bekerja dengan Pak Jemut walaupun kurang efisyen membuatkan nama mereka berdua ini persis lagenda dan tercatat dalam lembaran sejarah Kampung Kepayang. Tak lengkap rasanya kenangan ini kalau tidak bercerita tentang mereka berdua.

Malah, kalau sekarang kita bercakap tentang 1 Malaysia, sebenarnya dulu lagi semangat itu dah ada di kampung Kepayang. Di ujung geghotak... di bawoh pokok beso tu ler...!

Rabu, 3 September 2014

Imam Zohor


Masa itu aku masih belajar di menengah rendah, Sekolah Anderson. Bila rajin, kekadang aku bersembahyang di masjid.

Masa tu sembahyang Zohor. Biasalah.. kampung. Sembahyang waktu siang tak berapa ada orang sebab kerja. Kekadang azan pun tak kedengaran. Kalau hanya aku yang ada, akulah yang azan. Suara tak sedap pun, janji tak silap, kira oklah...

Selain aku, yang ada cuma Pak Jemut. Selesai saja azan, aku pun iqamah. Soalnya sekarang, sapa nak jadi imam? Dalam fikiran aku yang cetek agama ni tapi mahu menghormati orang tua seperti Pak Jemut yang juga kawan abah, biarlah Pak Jemut jadi imam. Tapi persoalannya, boleh ke orang buta jadi imam?

"Kamu aje lah yang jadi imam, Ta'a..," terdengar suara perempuan dari belakang tirai.

Huu... rasanya, walaupun terasa segan, akulah yang mengimamkan sembahyang Zohor hari itu! 

Khamis, 28 Ogos 2014

Moncah

Masa Yop basuh beras untuk makan tengahari tadi, segera teringat zaman keluarga kita susah dulu. Zaman abah sakit. Sekitar hujung tahun 60an.

Mak terpaksa bekerja untuk tampung sara hidup kita semua. Berjimat dalam segala sudut perbelanjaan termasuk beras.

Apa yang mak buat ialah setiap kali ceduk beras dari dalam tin beras ke dalam periuk, mak akan ambil semula satu genggam dari dalam periuk dan simpan semula ke dalam tin beras. Dengan cara ini bolehlah menjimatkan penggunaan beras sekaligus memanjangkan stok yang ada di dalam tin. Masa tu beras mak simpan dalam tin minyak tanah ( 4 segi seperti tin biskut ).


Terasa amat sayu bila teringat hal ini tadi. Berbanding zaman sekarang, anak-anak Yop begitu moncah ( mewah ) dengan makanan. Hingga kekadang Yop tengok senang-senang aja mengatakan tak lalu nak habiskan nasi dalam pinggan lalu buang begitu saja ke dalam tong sampah.

Kata ustaz Yop dulu, ini petanda akhir zaman...

Ahad, 29 Jun 2014

Air Batu Ramadhan

Hari ini Ramadhan pertama. Yop teringat kalau masa-masa nak berbuka ni, antara paling penting sekali ialah beli air batu. Tahun 70an kira keluarga Yop agak senang sikit sebab mak dan abah kerja. Jadi, setakat nak beli air batu tu, ok lagi.

Kat kampung dulu petang-petang akan ada orang datang berjual air batu. Air batu itu di bubuh dalam kotak kayu dan ditabur serbuk kayu untuk melambatkan ia dari cair. Dia datang dengan basikal roda tiga. Atau kalau nak cepat beli di kedai. Seketul dalam beberapa sen saja. Kalau air batu itu panjang, pekedai akan potong dengan gergaji.


Masa tu mana ada bazar Ramadhan macam sekarang. Semua juadah buat sendiri. Kekadang jiran bagi. Jiran tu bukan orang lain le.. Wan Biah dan Pak Berahim.


Rabu, 5 Mac 2014

Jam Dinding


Bila balik tengok mak di kampung, yang Yop tak pernah lupa ialah membelek jam dinding di bilik mak. Jam dinding jenis randik ini ikut kata mak, abah beli ketika umur Matun. Maknanya, kalau Matun dah berumur 40 tahun, 40 tahunlah umur jam tu. Boleh dikira antik.

Dan selalunya, bila Yop belek, ladung jam ini dah tak bergoyang lagi. Tak kiralah samada sebab kunciannya dah habis atau posisi tegaknya dah tak bersudut tepat dengan bumi.

Yop cakap pada mak bahawa Yop sayang pada jam ini. Satu hari nanti, kalau mak dah tak ada dan keluarga lain tak berminat pada jam ini, Yop nak ambil.

Jam ini masih baik keadaannya kecuali dentingnya saja dah tak berbunyi lagi. Yop percaya, dentingan itu boleh diperbaiki. Yop bercadang nak bawa balik ke Penang dan hantar ke kedai jam untuk diperbaiki. Bila dah diperbaiki, Yop akan pulangkan dan gantung semula di bilik mak.

Yop sayang jam ini kerana bersama jam ini ada jalur-jalur kenangan hidup yang tidak dapat dirasai oleh cucu-cucu mak.

Ahad, 23 Februari 2014

Lawan Kemuncup

Rumah kami masa tahun-tahun 60an dulu boleh dikatakan di kelilingi hutan. Sebelah kanan dan belakang, kebun getah Wan Jaba. Kiri, dusun Opah Leha. Di depan, tanah  tali api.

Yop dengan kawan-kawan Yop pun dulu nakal juga tapi nakal kami cuma nakal cara anak kampung, tak macam anak-anak sekarang, nakal dengan cara bandar.

Permainan kami juga adalah bersumberkan dari hutan. Tak perlu minta duit dari abah untuk belikan. Cari je dalam hutan.

Salah satu permainan yang tak sangat popular pada Yop tapi begitu nostalgik ialah:


Memang menyeronokkan. Tapi kekadang memiangkan...

Rakit

Lebih kurang macam nilah ghopenyer...

Yop masih ingat lagi, masa kecil dulu. Rasanya, masa tu titi Kepayang belum ada. Nak pergi ke Pekan Kampung Simee kena nyeberang sungai. 

Yop masih ingat, nyeberang sungai kena naik rakit. Rakit itu di tambat pada tali supaya tak hanyut masa nak nyeberang.

Lokasi rakit ini ikut kata mak di tepi sungai tak jauh dari rumah Ja'a. Kalau tak salah, ada beberapa pokok ara sebesar beberapa pemeluk tumbuh di situ. Buah aranya selalu kelihatan terapung di bawa arus sungai.

Kekadang semasa berakit, akan ternampak bangkai khinzir hanyut terapung ke hilir. Kekadang tersekat-sekat di antara dahan-dahan kayu atau batu di tengah sungai.

Kalau Yop katakan, sungai Kepayang dulu ada rakit, maknanya air sungai dulu dalam. Ya, memang dalam dan jernih. Kekadang, ikut abang sedara tangkap ikan guna pistol ikan.

Ahad, 16 Februari 2014

Kerantung

kredit: My Criter

Masa kecil dulu Yop memang rajin ke masjid - Masjid Al Khairiah, Kampung Kepayang. Kalau bernasib baik, bila waktu sembahyang dah masuk, Yop akan diminta untuk mengetuk kerantung. Kekadang berebut-rebut giliran dengan kawan-kawan yang lain.

Nak mengetuknya pun ada caranya. Mesti masukkan alu ke dalam lubang. Ketuk kiri dan kanan dengan cepat lebih kurang setengah minit. Kemudian ketuk bahagian luar kerantung. Mula-mula dengan tempo yang perlahan. Kemudian percepatkan sedikit. Dan kembali perlahankan rentak bila hampir ke penghujungnya. Bila sampai ke penghujung ketukan, Ketukan itu mesti dibilang mengikut rakaat sembahyang yang akan di dirikan. Kalau Zohor, kena ketuk 4 kali menandakan 4 rakaat. Kalau Subuh ketuk cuma 2 kali sahaja menandakan 2 rakaat.

Yop agak kerantung ini mestilah dibuat dari kayu yang keras. Justeru itu ianya tahan lama walau diketuk berulang kali di setiap waktu.

Tak pasti samada kerantung itu masih tergantung di kawasan kolah. Ataukah dah dibuangkan?

Apapun, kenangan ini memang indah dan sayu bila diulang kenang. Masjid dan kerantung inilah sebenarnya antara elemen pendidikan yang akhirnya membentuk Yop seorang manusia seperti hari ini. 

Khamis, 16 Januari 2014

Pot Untuk Mak Dan Abah

Balik baru ni ternampak pot yang Yop beli semasa latihan industri di Deco, Saitama-ken, Jepun. Selama training Yop tinggal di hotel kat Honjo City.

Sebelum balik, Yop sempat belikan pot ini sebagai ole-ole untuk mak dan abah. Masih tersimpan elok dalam almari mak.

Hari ini, bila Yop belek-belek, baru perasan rupanya pot ini tak sama saiz. Agaknya saiz kecik ini untuk abah dan saiz besar untuk mak..he..he..