Isnin, 27 Jun 2011

Tuhan Itu Di Atas Langit Ke, Opah?

Balik kampung, ziarah Mak semalam. Acu yang berumur 4 tahun meragam. Agaknya sebab tak dapat ikut Duyah bersama Niza, Matun dan Kedek pergi KL tengok Kida.

Mak tegas suruh Acu balik dan tukar baju. Pakai baju tebal-tebal pasal apa, leter Mak. Acu pun balik dan kembali dengan memakai baju lain. Kemudian Mak suruh Acu makan roti canai bersama kami. Hari yang tadinya asyik berangin dan gelap mulai kilat dan guruh.

Sambil makan Acu bertanya satu soalan. Soalan yang kalau ditanya pada Yop, Yop pun tak tahu nak jawap macam mana.

"Opah, Tuhan tu duduk di atas langit, kan. Tuhan tu tak kena kilat ke, Opah?"

"Tuhan tu ada dekat dengan kita. Dekat Acu duduk ni pun ada Tuhan. Cuma kita aje yang tak nampak dia. Sebab itu kamu kena makan sebab Tuhan nampak kamu. Tuhan tahu kamu tu lapo. Haaa.... makan kenyang-kenyang, ya.."

Soalan macam ni memang popular. Masa Yop kecik-kecik dulu pun biasa kawan-kawan Yop bertanya dengan soalan yang lebih kurang macam ni.

"Deme tu bebudak. Jadi kita kena pandai menjawapnya cara bebudak" ujar Mak bila aku ketawa mendengar jawapan killer mak. Acu diam sambil memakan roti canai yang dibeli oleh adik pagi tadi.