Jumaat, 26 Mac 2010

Perkampungan Melayu Tertua Terima Bantuan 4.5 Juta

Yop temui info ini di laman sesawang mforum.cari.com. Harap memberi manafaat. Dimana tapak baru tu ya?


IPOH 12 Okt. - Kampung Kepayang Fair Park di sini yang dibuka pada akhir abad ke-18 merupakan perkampungan Melayu tertua di sini.

Pembukaan kampung berkenaan dimulakan oleh tiga tokoh adik beradik dikenali sebagai Tok Senonsa, Tok Gemuk dan Tok Changkat Rumbia yang merupakan penduduk asal daerah Kinta.

Bagaimanapun, mengikut sesetengah pihak, terdapat seorang lagi tokoh yang juga adik-beradik mereka yang terlibat dengan pembukaan kampung berkenaan iaitu Tok Bala Senam.

Namun, nama Tok Bala Senam tidak dimasukkan ke dalam senarai perintis kampung tersebut memandangkan beliau dikatakan 'ghaib' begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan sejarah.

Ini berbeza dengan ketiga-tiga beradik di atas yang pusara masing-masing masih terdapat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang yang juga merupakan tanah wakaf yang ditinggalkan mereka.

Selepas dua abad berlalu, tanah yang mereka wakafkan untuk pembinaan masjid, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tanah perkuburan Islam bagi kegunaan penduduk kampung telah mula dihimpit dengan arus pembangunan.

Masjid Kampung Kepayang kini bukan sahaja kelihatan uzur malah sudah tidak mampu menampung jemaah lebih-lebih lagi sewaktu solat Jumaat.

Keadaan menjadi semakin sesak ketika penduduk kampung menunaikan solat Aidilfitri dan Aidiladha kerana pada masa itulah sebahagian besar anak-anak kampung merantau pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kawasan tanah perkuburan juga sudah digunakan semaksimum mungkin hingga kini 'mengelilingi' dan 'memenuhi' persekitaran masjid tersebut.

Secara tidak langsung, pembelajaran anak-anak kecil di SAR di kawasan berkenaan sedikit terganggu kerana persekitaran yang kurang selesa.

Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat kampung berkenaan pada 4 September lepas membawa khabar gembira yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung.

Muhyiddin yang sempat menunaikan solat Asar termasuk bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dapat merasai kesempitan yang dialami penduduk kampung.

Setelah dimaklumkan mengenai masalah berkenaan daripada penduduk setempat, beliau dengan spontan mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi membina sebuah masjid baru.

''Kerajaan negeri Perak sudah bersetuju membeli tanah seluas 3.4 hektar bernilai RM2 juta untuk beli tapak masjid dan Kerajaan Persekutuan pula tambah RM2.5 juta untuk bina masjid.

''Saya rasa elok juga masyarakat di sini turut membuat kutipan dana sendiri supaya sama-sama dapat manfaat dan akhirnya masjid baru dapat dibina di sini," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh penduduk kampung.

Dalam pada itu, Zambry pula berkata, kerajaan negeri bersedia membeli tanah di hadapan masjid sedia ada kerana dimaklumkan bahawa pemilik tanah tersebut tidak membangunkannya sejak beratus tahun yang lalu.

''Saya fikir kawasan baru untuk tapak masjid sangat luas dan sudah pasti akan mendatangkan banyak manfaat dan keselesaan kepada penduduk menunaikan ibadah.

''Tapak baru ini lebih luas dan bolehlah kita dirikan pelbagai kemudahan lain seperti dewan orang ramai dan sebagainya," katanya.

Rabu, 24 Mac 2010

Geghotak Sungai

Semasa Yop balik kampung baru-baru ini, Yop terpanggil untuk berhenti sebentar di jambatan sungai yang menghubungkan Kampung Kepayang Hulu dan Hilir (ini terma yang sering penduduk kampung guna semasa Yop masih hingusan dulu).


Ikut istilah Yop masa kecil dulu jambatan ini dipanggil geghotak (gerotak). Geghotak ini boleh dikatakan sudah lama juga pembinaanya. Semasa Yop masih belajar di IKM dulu sekitar 1980 sudah ada.


Inilah satu-satunya jalan yang menghubungkan Kampung Kepayang dengan Bandar Ipoh selain dari menyusuri jalan keretapi yang tidak jauh dari rumah Yop. Dulu sungai ini lebar dan kalau hujan lebat, airnya dalam dan merbahaya jika hendak menyeberang.

Sebelum jambatan yang ini, jambatan yang sering Yop gunakan ialah jambatan kayu.


Inipun sebenarnya adalah tapak jambatan kayu yang kedua. Jambatan kayu yang pertama kalau tidak salah Yop adalah terletak di tapak jambatan baru sekarang ini. Jambatan kayu yang kedua hampir runtuh kerana tidak cukup teguh menahan terjahan air sungai yang dalam selepas hujan. Terutama bila air sungai juga membawa sampah sarap serta kayu melanggar tiang-tiang jambatan.

Apapun, jambatan atau geghotak dan sungai ini memang menjadi nadi kepada perhubungan dan kemudahan pengangkutan penduduk Kampung Kepayang; kampung tempat Yop dibesarkan.

Jumaat, 19 Mac 2010

Keluarga Dukut

Semasa merayau-rayau dalam alam siber mencari maklumat tentang Kampung Kepayang, yop terjumpa bahan ini. Mungkin berguna untuk dikongsi bersama walaupun majlis ini sudah lama berlansung.

Rumah keluarga besar ini tak jauh dari Masjid Kampung Kepayang.

Bila agaknya nak buat himpunan keluarga Abdullah Sani ( bapa kepada abah )?


ARKIB : 27/10/2006
800 ahli keluarga Dukut berkumpul

Oleh ANGELINA SINYANG

IPOH 26 Okt. – Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi keluarga bekas pengasas Kampung Kepayang, Fair Park di sini, Allahyarham Imam Awang apabila kira-kira 800 ahli keluarganya meliputi lima generasi, berkumpul untuk sama-sama menyambut hari lebaran, semalam.

Lebih menggembirakan, pertemuan kali keenam itu membabitkan sanak saudara dari seluruh Malaysia serta luar negara seperti Medan, Indonesia; Sudan, Pakistan dan Brunei.

Usaha mengumpulkan keluarga itu dilakukan oleh Persatuan Keluarga Dukut dan Halijah iaitu waris Imam Awang hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya, Teh Fatimah.

Zaira Tak yang merupakan cicit kepada Allahyarham berkata, tujuan perhimpunan itu adalah bagi membolehkan mereka berkenalan antara satu sama lain terutama golongan muda keturunan Dukut dan Halijah yang mungkin tidak kenal saudara mara mereka.

Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Pemasaran dengan syarikat Coridor Padu K.L memberitahu, usaha mengadakan perjumpaan itu dirancang sejak beberapa bulan lalu dengan menyebarkan maklumat melalui e-mel, sistem pesanan ringkas, telefon dan memberitahu ahli keluarga.

‘‘Perjumpaan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim ini mula diadakan pada 1990 dan dilanjutkan selang dua atau tiga tahun sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan Keluarga Dukut dan Halijah di Kampung Kepayang, Fair Park, di sini semalam.

Menurut Zaira, hasil perjumpaan kali ini, ahli-ahli persatuan yang hadir bersetuju mengadakan perhimpunan itu selang lima tahun sekali secara tetap agar tidak terlalu membebankan kerana ada antara mereka yang mahu berhari raya di tempat lain bersama keluarga mertua masing-masing.

Ditanya tentang salasilah keturunan Dukut dan Halijah, Zaira berkata, arwah neneknya, Halijah merupakan anak tunggal kepada Imam Awang dengan isteri pertamanya, Teh Fatimah.

Imam Awang yang mengasaskan Kampung Kepayang merupakan seorang pendakwah berasal dari Kelantan.

Beliau yang datang ke Perak pada 1880-an telah berkahwin dengan Teh Fatimah iaitu anak saudara kepada Datuk Panglima Kinta dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Halijah.

Selain Teh Fatimah, Imam Awang turut berkahwin dengan empat wanita lain iaitu isteri keduanya, Halijah; Siti Hajar (isteri ketiga), Wan Teh Rawi (isteri kelima) dan isteri keempat yang tidak dikenali namanya tetapi berasal dari Jerlon, Manong, Kuala Kangsar.

Hasil perkahwinan tersebut, beliau memperoleh lima anak kecuali dengan isteri kelima tidak dikurniakan cahayamata.

Menurut Zaira, beliau bersama tujuh lagi adik-beradiknya yang lain merupakan keturunan Imam Awang dari perkahwinan Halijah dengan datuknya, Dukut Maharajo, seorang pemuda berasal dari Medan.


Rabu, 17 Mac 2010

Cucur Kodok

Maaf sebab lama sungguh yop tidak kemaskini blog kesayangan yop ini. Tapi bila baru-baru ini yop balik kampung dan adik-adik yop masakkan cucur kodok untuk yop, tiba-tiba kerinduan untuk menulis dalam blog ini menerjah benak yop.


Sedapnya cucur kodok yang adik yop masak ini sama dengan cucur kodok dari air tangan mak. Walaupun mak tidak ada di rumah kerana pergi ke rumah Kedek di Shah Alam, yop rasa puas sebab dapat berbual mesra dengan adik-adik yop - Napi, Ina, Niza dan Duyah juga melihatkan anak-anak saudara yop yang kini semakin dewasa.

Semasa kami masih kecil sekitar tahun 60an dulu, cucur kodok inilah makanan kami saban pagi. Yop akan memasaknya untuk dimakan bersama adik-adik sementara mak pergi memotong getah di kebun Wan Jaba. Colek dengan sambal tumis uuuuuuhhhh.... sedap bebeno.

Sampai sekarang yop gemar makan cucur. Cuma di Pulau Pinang ini, tidak dapat carilah cucur kodok sama macam yang mak masak. Cucur udang yang ada dijual di pasar malam sahajalah pelepas ketagihan ini.