Setiap kali ada majlis kenduri kahwin, abah selalu diminta bernyanyi. Abah membalut mikrofon dengan sapu tangan. Abah memakai cermin mata hitam. Dan abah akan menyanyikan lagu 'SRI MERSING". Akhirnya, abah masyhor dengan gelaran 'Am Sri Mersing'.

Ahad, 19 April 2009

Nur Syukrida Murnira


Dia di sebelah kiri adalah adik bongsuku. Manis kan? Lebih manis kalau senyum kerana terhias lesung pipit di kiri kanan.

Entah bila masa emak melahirkan dia aku pun tak tahu. Masa itu aku belajar di KL. Tau-tau saja dia dah pun menjadi ahli keluargaku. Kejarangan aku balik ke kampung lantaran studi menyebabkan aku kurang rapat sangat dengan adikku ini yang lebih mesra dipanggil Kida. Cuma bila dia dewasa begini baru aku dapat rasakan kemesraan itu. Dia lebih rapat dengan adikku Mamat. Maklumlah, mereka lahir di zaman yang sama, 80an. 20 tahun berbeza dari zaman aku.

Kini Kida berada di bulan-bulan terakhir UIA, Gombak. Dia mengambil sarjana Komunikasi. Yang bestnya Kida ini bila dia bercakap. Ia mengingatkan aku terhadap perkara yang sama semasa aku sedang belajar di KL dulu.

Bila bersama kawan-kawan yang dari pelbagai negeri di dalam kelas, aku cuba mengelak dari bercakap menggunakan dailek negeri Perak. Jadinya aku akan bercakap menggunakan bahasa standard;

kume jadi saya
kome kamu
deme jadi dia orang

Aku pun tak perasaan perubahan ini. Sehinggalah aku balik ke kampung, aku terdengar adik-adik aku berkata sesama mereka;

" Kenapa yop tu cakap pelatnya lain macam jer? "

Nah, hari ini aku pula bersoalan yang sama bila mendengar Kida bercakap;

kita orang
dia orang

Stail remaja KL bercakap. Maklumlah, KL itu terhimpunnya pelbagai orang dari pelbagai negeri yang berdailek berbeza terpaksa mencari satu dailek pertuturan yang tersendiri dan akhirnya begitulah bunyi patah perkataan yang diucapkan. Ada pengaruh BAKU. Dan kekadang aku terasa seperti mengada-ngada. Tapi itulah hakikatnya yang harus kita terima.

Tukar dailek tak mengapa. Jangan tukar budi bahasa dan peragaan macam sesetengah anak muda KL yang pernah aku jumpa.

Khamis, 9 April 2009

Restoran Tasik Raban

Hem... Jangan terkejut bagi yang pernah pergi ke Tasik Raban di Kuala Kangsar. Restoran yang ni sebenarnya terletak di belakang Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh. Semasa ngelewo-ngelewo cari makan sebelum singgah ke rumah mak dari Penang, terjumpa restoran ni. Apalagi, yong yang memang gemo makan gulai tempoyak tak lepas peluang singgah menjamu selera di sini. Best kan! Cuba-try la kalau tak caya...
Kalau dari Jalan Ghazali Jawi depan Stadium Indera Mulia menghala ke Ipoh Garden, terus ke roundabout dan ambil pusingan pukul 3. Terus ke depan dan lihat sebelah kiri.



gulai tempoyak ikan patin









sambal tempoyak

Selasa, 7 April 2009

Jalan Keretapi

Jalan keretapi ini tidaklah jauh dari rumah aku. Di sinilah tempat aku bermain. Aku dan kawan-kawan akan menyorok di sebalik rimbunan pokok ubi kayu yang ditanam oleh Cina Uban dan membaling ketul-ketul tanah ke arah gerabak keretapi yang lalu.

Di sini juga aku dan kawan-kawanku akan meletakkan paku besar ke atas rel. Bila keretapi lalu, paku itu akan menjadi leper dan mudahlah kami mengubahsuainya menjadi pisau.

Bunyi keretapi yang lalu ini juga, lebih-lebih lagi di tengah malam, siulannya jelas memecah keheningan. Dulu, manalah ada jam. Bunyi keretapi yang lalu inilah yang akan memberitahu kami sekeluarga pukul berapa ketika itu.

Kata Wan Biah, di landasan inilah Basiron pernah mati di gilis keretapi. Selepas di gilis, ada orang memercikkan kesan darahnya di landasan itu dengan air limau nipis. Apalagi, bila tengah malam akan terdengar bunyi teriak tangis Basiron. Entah siapa Basiron itu dan kenapa dia bunuh diri tidaklah aku ketahui.

Dan lebih aku tidak tahu ialah samada benar cerita Wan Biah atau sekadar helah untuk menakut-nakutkan kami daripada pergi bermain dilandasan keretapi itu.

Di tepi jalan keretapi inilah laluan kami kalau hendak ke rumah Mak Nyah di Kampung Tasek. Nak ikut jalan raya, terlalu jauh dan merbahaya kerana sunyi.

Bila saja ada keretapi lalu, kami akan tergesa-gesa masuk dalam semak untuk mengelakkan kami dari terkena air panas yang memercik dari kepala keretapi. Masa itu keretapi masih menggunakan injin wap. Dan bila kepala keretapi atau lokomotif itu lalu, asap akan berkepul keluar dari corong bersama airnya yang panas. Aku akan memekup telingaku dengan tangan kerana tak tahan mendengar gegeran roda keretapi itu melanggar rel.

Gunung yang tampak itu adalah Gunung Mat Sirat. Nanti kalau berkesempatan, aku akan ceritakan perihal gunung ini.

Ahad, 5 April 2009

Fuziyatun Adawiah

Aku ada 8 adik dan ini adalah yang ke5. Seorang yang pendiam dan adik yang paling cun semasa kami masih remaja dulu. Kini dia telahpun bersuami bernama Zamri dan mempunyai 3 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Aku memanggilnya dengan nama Duyah.

Dialah yang menjaga mak yang separa lumpuh sekarang ( disamping pengorbanan adik-adik lain ). Dialah yang memandikan mak, menjaga makan minum dan tidur mak. Dia sanggup berhenti kerja semata-mata hendak menjaga mak walaupun sebenarnya telah ada orang lain yang sanggup menjaga. Begitu besar pengorbanannya. Dia sanggup menelangkup sebahagian dari punca rezeki keluarganya semata-mata untuk merebut keredhaan Allah.

Aku pernah berkata padanya;

" Jika kamu taat pada Allah dan pada suamimu, senang-senang kamu akan masuk syurga kerana hari ini kamu telah berkorban menjaga mak! "

Jumaat, 3 April 2009

Motor Kapcai Abah



Ini adalah motor Honda AU 8517. Selalu abah gunakan untuk mesin rumput. Hasil titik peluh dari mesin rumput rumah ke rumah inilah yang menyara hidup aku dan adik-adikku.

Motor klasik lampu bulat ini sebenarnya abah beli daripada kawan baikku Roslan Jantan yang tinggal di Kampung Tengku Hussain Lama. Aku pun tak tahu menahu tentang jualbeli motor ini. Tau-tau, motor ini dah bertukar tangan kepada abah aku.

Abah aku cukup sayang pada motor ini. Walaupun dia sudah membeli motor Honda EX5 yang baru, motor ini masih digunakannya hingga akhir hayatnya. Katanya motor ini tahan lasak, tak seperti motor barunya itu.

Rabu, 1 April 2009

Foto Sekeluarga

Gambar ini di ambil semasa Hari Raya 2008. Tiada dalam gambar cuma aku dan Matun. Aku tak dapat balik kampung sebab isteriku baru saja di serang angin ahmar. Matun mungkin kerana gilirannya beraya di rumah mertua.
Sayu hatiku bila pertama kali menatap gambar ini. Tidak sepatutnya aku tidak bersama mereka bergambar sesama sebagai kenangan di Hari Raya.









Kiri: Kedek, Duyah, Napi, Ja, Mamat, Kida, Darul