Setiap kali ada majlis kenduri kahwin, abah selalu diminta bernyanyi. Abah membalut mikrofon dengan sapu tangan. Abah memakai cermin mata hitam. Dan abah akan menyanyikan lagu 'SRI MERSING". Akhirnya, abah masyhor dengan gelaran 'Am Sri Mersing'.

Khamis, 12 September 2013

Bunga Kertas

Pokok pelam depan rumah Yop ini di tanam oleh arwah abah. Yop tak pernah ambil pusing pun pasal tumbesarannya. Tak pernah siram. Tak pernah baja. Ia tumbuh dan berbuah dengan lebat secara berdikari. 

Abah dulu bekerja sebagai cooly  Majlis Bandaran Ipoh. Disamping itu abah cari duit lebih dengan ambil upah mesin rumput atau gunting pokok pagar mana-mana rumah taukeh Cina di Canning Garden atau Ipoh Garden. Kata orang, tangan abah sejuk. Setiap apa yang dia tanam mudah tumbuh dan berbunga.

Abah, semasa Yop kecil dulu suka tanam pokok bunga di keliling rumah. Hatta pokok bunga anggerik yang sukar untuk berbunga itu pun berwarna warni bergantungan pasunya di alang beranda. Paling banyak di rumah aku ketika itu ialah pokok bunga kertas. Kekadang tampak seperti bongsai gergasi.

Pernah satu ketika dulu, Majlis Bandaran Ipoh bercita-cita mahu jadikan Ipoh sebagai Bandar Bunga Kertas. Tapi... cita-cita itu seperti tidak kesampaian!

Semasa abah ada, rumah ini dijaga dengan baik

Ahad, 1 September 2013

5 Tahun Pemergian Abah

Semalam, Yop balik kampung dengan Yong. Teringat untuk singgah jenguk pusara abah di perkuburan.

Dapat dirasakan betapa tenang dan damainya suasana di sana. Pusara abah masih macam dulu. Di kelilingi batu-batu kecil dan tanah merah. Bersih. Tentu ada orang yang menjaganya. Adik-adik Yop lah tu, agaknya!

Yop menghadap dada abah. Pegang nisan di kepala abah sambil membaca Fatihah. Kemudian pegang nisan di kaki abah sambil berdoa panjang. Muga Allah tempatkan abah di kalangan hamba-hambaNya yang Dia kasihi.

Dan 5 tahun pemergian abah. Dah 5 tahun juga mak tinggal sendirian di rumah pusaka tinggalan abah. Yop tahu, walaupun anak dan cucu mak ramai di sekeliling mak, namun hati mak masih selalu kesepian.

'Abah, maafkan saya kerana saya tidak sempat membalas segala jasa-jasa abah yang selama ini membesar dan mendidik saya!'