Selasa, 4 Oktober 2016

Belasungkawa - Ayah Yang


Dapat berita, Ayah Yang pergi menemui Tuhan lebih dulu dari kita.

Innalillahiwainnaialihirojiun!

Ayah Yang yang sekian lama dijagai dan tinggal bersama Norlin di Tambun sebenarnya kian uzur hari demi hari akibat tua. 

Adiknya yang tengah yakni abah dan Basri telah lebih dulu pergi. Mak Nyah juga telah tiada.

Hasil perkahwinan Zaleha + Abdullah Sani:

1. Mak Nyah ...               (tiada)
2. Ayah Yang - Ihsan ... (tiada --> 2016)
3. Ayah Co - Basri ...       (tiada)
4. Abah/Andak - Amri ... (tiada --> 2008)
5. Pak Cik - Sabaruddin ... ( masih ada)

Pak Cik Saba...dia sahaja bapa saudara belah abah yang masih ada. Belah mak masih ada Cu Haron dan Pak Long.

Semuga yang masih hidup ini kita ziarahi dan doakan kesejahteraan mereka.

Apapun kematian itu pasti dan waktunya adalah dalam milikan Allah, termasuk kita!

Sabtu, 11 Jun 2016

Mimpikan Abah


3 kali Yop berjumpa abah semasa dalam tidur tadi.

Pertama, abah berjumpa Yop untuk meminjam RM9. Ada keperluan katanya. 

Hati Yop berdetik... apalah abah ni. Dengan anak sendiri pun nak kira pinjam. 

Yop bagi RM10. Abah menolak.

'Aku nak RM9 jer...'

Kali ke 2, Yop berkereta dengan abah. Sampai di satu tempat, Yop berhenti dan keluar dari kereta. Tak lama, abah pula keluar dan berdiri rapat dengan Yop. Seolah bebisik, abah sekali lagi berkata...

'Abah nak pinjam RM9.'

Yop jadi heran. Takkan abah ni nyanyuk. Terlupa yang tadi dia dah minta RM9. Namun tangan Yop bagi juga.

Kali ke 3, abah jumpa Yop lagi. Kali ini dengan wajah resah, abah minta pinjam duit dengan jumlah yang sama... RM9. Yop bagi juga tapi dengan hati penuh kehairanan. Apasal dengan abah ni?

Tiba-tiba lalu kawan sekerja Yop - Mokhtar. Entah macam mana boleh ada sama dalam mimpi Yop semasa hayat abah masih ada...

'Tengok dia tu,' sambing bibir muncung ke arah abah...

'Dah terdesak macam ni baru nak pi tolong...'

Yop pun berjalan cepat-cepat ke arah yang dimuncungkan oleh Mokhtar. 

Atas bukit, apa yang Yop nampak ialah Ayah Co dan Pak Cik Saba (abang dan adik abah). Yop melihat mereka dengan beberapa orang lain. Yop tak faham apa yang berlaku.

Kerana Yop tiba-tiba tersedar dari lena...


p/s: Yop memang susah malah mungkin tak pernah bermimpikan abah sebelum ini. Tak mahu beranggapan apa-apa melainkan ini hanya mainan tidur. Balik kampung nanti, isyaAllah, harap tak lupa nak ziarah pusara abah...

Khamis, 19 Mei 2016

Belasungkawa - Al Manar



Tadi Yop mendapat emel dari blog Al Manar. Memberitahu bahawa blogger Al Manar baru sahaja pergi menemui Ilahi. Takziah buat keluarga Al Manar. Muga rohnya di cucuri rahmat Allah!

Al Manar adalah antara blog terawal yang pernah Yop kunjungi. Beliau pernah mengirim emel peribadi untuk mahu berkenalan lebih rapat dengan Yop. Cuma Yop sahaja yang tak respon sebab ada rasa segan di hati. 

Beliau juga pernah membuat komen di ruang Labun di sisi blog ini.

Dari penelitian Yop, Al Manar bukanlah sembarangan orang. Yop terasa kerdil...

Sebenarnya, pada Januari 2016 lagi Yop dah dapat khabar beliau kurang sihat. Boleh baca catatan Yop di sini.

Al Manar adalah blogger ke 2 selepas blogger Kasim Selamat yang lebih dulu menemui Rab. 

Sabtu, 30 April 2016

Mimpikan Mak Co


Tidur tadi Yop bermimpikan Mak Co - satu-satunya mak saudara yang membesar Yop dengan air susunya.

Mak Co adalah kakak ipar kepada abah. Tinggal tak jauh dari juga dari rumah Yop di kampung. Anaknya yang sulong - Jama adalah sebaya dengan Yop dan kawan sepermainan yang akrab bersama Kulop dan Din. 

Mak Co lemah lembut orangnya. Asal dari Simpang Pulai. Yop selalu bermain dan tidur di rumahnya

Satu masa di bulan puasa, Yop masih ingat; pernah tertidur lama di ruang tamu rumah Mak Co setelah balik dari mengambil kanji di masjid. Kata mereka, Yop pengsan

Semasa pemergiannya menemui Pencipta semasa berumur lingkungan 75 tahun, Syawal tahun lepas, Yop tak dapat pergi ziarah kerana masih kurang sihat akibat serangan Denggi. Tak boleh duduk lama jauh sekali untuk memandu.

Yop doakan muga Mak Co aman di 'sana'. Kenangan semasa kecil bersamanya sebenarnya dah banyak Yop terlupa...

Sabtu, 2 April 2016

Azan

foto hiasan

Angin kuat dari biasa hari ini di kawasan rumah Yop. Hinggakan bumbung depan rumah Yop menggelepar seperti akan tercabut.

Yop teringat semasa kecil dulu di kampung. Bila angin kuat bertiup kencang, pokok nyior belakang rumah akan melintuk liuk seperti mau tumbang menghempap rumah.

Ada ketikanya bila kami terasa takut, mak akan suruh kami adik beradik semua turuh ke bawah rumah. Mak akan suruh Yop azan (bang). Abah tak ada sebab belum balik kerja.

Yop pun memekap tangan ke telinga; melaungkan azan. Tapi angin tetap juga tidak reda. Walaupun begitu... alhamdulillah, pokok nyior itu seingat Yop belum pernahlah tumbang menghempap rumah. Akarnya kuat mencengkam tanah. Kalau tak salah, pokok nyior itu akhirnya, ditebang sendiri oleh orang yang mak upahkan.

Mengingatkan hal itulah... tadi, Yop pun melaungkan azan di muka pintu sambil dalam hati mengharapkan Allah mengasihani Yop yang bimbang bumbung akan terbang kerana strukturnya memang sudah tidak kuat.

Itulah kita...ya! Bila terdesak dengan masaalah atau bala, barulah ingatkan Tuhan. Barulah nak berserah diri sepenuhnya pada Tuhan. Tapi bila dah senang.... lupa pada Dia! 

Jumaat, 25 Mac 2016

Kemarau Dan Telaga

Musim panas macam ni teringat masa Yop kecil dulu. Masa masih main kondangkondi. Main polis sentri.

Masa tu rumah Yop macam jauh sangat dari rumah orang lain. Yang dekat pun cuma rumah Ani (aduhhh... lupa pulak Pak apa ni....??).

Sumber air hanya dari telaga. Telaga dekat dapur rumah Yop (kemudian diubahsuai kepada lubang jamban. Kemudian.... jadi hutan. Sekarang dah lupus dah agaknya).

Bila musim kemarau (dulu musim ni tentu bulannya tak macam sekarang), kebanyakan telaga akan kering termasuk telaga rumah Yop. Jadi, basuh kain akan ditukar ke sungai. Air telaga cuma ambil untuk minum. Kalau nak air yang jernih, kena timba awal pagi. kalau lewat, jawapnya tingga keladak.

Disebabkan dah cetek, kenalah sabar... timba sikit sikit. Itu kerja Yoplah sebagai anak sulong. Air mesti penuh dalam tempayan. kalau tak, kena bisinglah dengan mak bila balik dari motong getah.

Ambil guna timba. Tali timba kalau nak tak sakit tangan menarik dari dalam telaga, guna yang diperbuat dari sabut. kalau guna tali dari nylon, memang merahlah tangan. Tak mahu tergelincir tali dari tangan sebab licin, tali akan disimpul bertakat takat sebagai penahan.

Pernah juga merasamembuat timba menggunakan buluh. Dua batang buluh panjang. Satu di tambat pada dahan pokok dekat telaga. Di Pangkal diletakkan batu sebagai pemberat. Di hujung, diikat dengan buluh lebih kecil lurus masuk ke dalam telaga dengan timban di hujungnya.

Lebih canggih sikit, guna takal. Tapi yang tu, rumah orang yang kaya sikit adalah. Rumah Yop dulu, guna timba dengan tali panjang jer...

Rabu, 23 Mac 2016

Din

Balik kampung Ahad baru ni, sempat ziarah Din (suami Niza) di rumahnya.

Din baru saja menjalani pembedahan memasukkan 'bateri' ke jantung di Hospital Serdang, 18hb lalu.Macammana 'bateri' itu berfungsi, idak le kume tahu...

Nampaknya, Din agak cergas dan ceria berbanding sebelumnya. Dia masih bercuti dari kerja dan akan menjalani sesi rawatan pemantauan di HRPB, Ipoh.

Yop sempat berpesan pada Din supaya membuat riadah ringan, jangan diam di rumah sahaja.

Muga Allah memberi kesihatan yang baik kepada adik ipar Yop ini... (walaupun umurnya lebih tua dari Yop)...

Ameenn...

Sabtu, 23 Januari 2016

Keluarga Opah Leha


Ini adalah gambar yang dikirim oleh Epon ( anak Mak Co ) melalui wassup.

Berdiri kiri adalah abah, Ayah Co, Pak Cik, Pati ( Azhar - anak Ayah Co ).

Duduk kiri adalah Kamaruddin ( agaknya... duduk kat Kuang, Chemor ), Ayah Nyah, mak Nyah dan Ayah Yang.

Yang masih hidup ialah Pak Cik, Pati dan Ayah Yang ( itu pun dah uzur ). Kamaruddin... Yop Tak pasti.

Tak tahu pula gambar ini ambil di mana. Namun bila melihatkan semua arwah ini masih ada dan nampak sihat, pastinya gambar ini diambil antara 15 ke 20 tahun dulu.

Gambar keluarga Opah Leha seperti ini memang hampir tiada dalam simpanan Yop. 

Al Fatihah buat bapa dan mak saudara Yop yang lebih dulu pergi menemui Pencipta. Kepada yang masih ada.. Yop doakan muga sihat dan dirahmati Allah. Harap Yop dapat ziarah mereka sementara masih ada.

Khamis, 21 Januari 2016

Al Manar

Blogger Al Manar adalah antara beberapa blogger yang pernah menurunkan komen terhadap entri blog ini. Dan juga komen di ruang LABUN di sisi entri.

Dia juga beberapa kali menghantar email mahu berkenalan lebih dekat dengan Yop. Tapi bila Yop membaca blog dia di sini, Yop berasa tak layak. Beliau bukannya sembarangan orang.

Yop juga perasan, beliau juga adalah sahabatmaya kepada blogger NUKILAN ( juga dah lama tak update blog).

Teringat nak jenguk blog dia tadi, baru tahu dia kurang sihat. Itupun entri pada bulan Jun. Entah bagaimana keadaan kesihatannya sekarang.

Apapun, SRI MERSING mendoakan muga blogger Al Manar dikurniakan Allah, kesihatan yang baik dan panjang. Serta aktif menulis semula...


To all readers, especially blogger friends and former/present students of AlManar.

We wish to inform that our dear Hj Hassan, or fondly known as Pokcik, is unwell.  He has been in Kuala Lumpur since May, in good company amongst family and loved ones, in the special care of medical experts.  Our humble request is for your prayers to guide him through this trying times. 
We would also like to wish Ramadhan Mubarak to all.
Thank you.
Makcik and Pokcik's children.