Memaparkan catatan dengan label Lagenda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lagenda. Papar semua catatan

Sabtu, 2 April 2016

Azan

foto hiasan

Angin kuat dari biasa hari ini di kawasan rumah Yop. Hinggakan bumbung depan rumah Yop menggelepar seperti akan tercabut.

Yop teringat semasa kecil dulu di kampung. Bila angin kuat bertiup kencang, pokok nyior belakang rumah akan melintuk liuk seperti mau tumbang menghempap rumah.

Ada ketikanya bila kami terasa takut, mak akan suruh kami adik beradik semua turuh ke bawah rumah. Mak akan suruh Yop azan (bang). Abah tak ada sebab belum balik kerja.

Yop pun memekap tangan ke telinga; melaungkan azan. Tapi angin tetap juga tidak reda. Walaupun begitu... alhamdulillah, pokok nyior itu seingat Yop belum pernahlah tumbang menghempap rumah. Akarnya kuat mencengkam tanah. Kalau tak salah, pokok nyior itu akhirnya, ditebang sendiri oleh orang yang mak upahkan.

Mengingatkan hal itulah... tadi, Yop pun melaungkan azan di muka pintu sambil dalam hati mengharapkan Allah mengasihani Yop yang bimbang bumbung akan terbang kerana strukturnya memang sudah tidak kuat.

Itulah kita...ya! Bila terdesak dengan masaalah atau bala, barulah ingatkan Tuhan. Barulah nak berserah diri sepenuhnya pada Tuhan. Tapi bila dah senang.... lupa pada Dia! 

Isnin, 11 Mei 2015

Tok Ki Leman


Rupanya, ada juga gambar kenangan Tok Ki Leman dalam simpanan gambar keluarga. Inilah untungnya bila ber'abah'kan seorang fotografer yang mungkin satu-satunya di kampung Yop, agaknya.

Tok Ki Leman adalah antara guru ugama yang disegani di kampung. Dialah yang mengajar kebanyakan anak-anak kampung baya Yop mengaji Quran. Masa tu, kami mengaji di madrasah - rumah kayu yang ada di belakang masjid lama Al Khairiah.

Di sebelah Tok Ki nanti ada sebilah rotan. kalau kami tak bagi tumpuan pada ngaji, dia akan rotan lantai tanda amaran.

Tok Ki juga seorang yang bertanggungjawap mengutip fitrah setiap kali menjelang Ramadhan. Dia akan pergi ke setiap rumah di seluruh ceruk kampung dengan basikal.. Cukup rajin dia. Tak pernah dengar dia merungut.

Aku tak ingatlah siapa isteri Tok Ki masa tu. Dan anak-anak dia pun aku tak ingat atau mungkin aku tak tahu.

Aku tak ingat bila masanya gambar di atas itu diambil. Tapi yang pastinya lokasinya adalah di rumah aku. yang berbaju melayu hitam itu ialah Kulop ( Ahmad Muzaffar ) - kawan sepermainan dan satu sekolah. Berbaju batik adalah bapa saudara yakni adik kepada abah. Yang bersandar di tingkap itu (rujuk komen di fb di sini) adalah Bahari bekerja sebagai jaga di kedai emas, Pekan Lama.

Memang terasa sayu bila sesekali terkenang masa mengaji dengan Tok Ki Leman ini. Muga rohnya di pelihara oleh Allah di sana.


Sabtu, 3 Januari 2015

Nik


Baru dapat tahu bahawa Nik telah pun pergi menghadap Ilahi. Dia lebih tua dari Yop; makanya umur dia mungkin sekitar 56. 

Nik adalah kawan sepermainan. Sama jugalah dengan adiknya, Lemi. Sama-sama main masak-masak, main polis sentri, main kondang kondi, main gambar, main gasing, galah panjang, mandi sungai, curi kacang tanah kebun Cina tepi rel keretapi kat Kampung Jawa sambil baling ketul tanah yang keras ke arah gerabak keretapi lalu, letak paku atas rel kononnya nak buat pisau, memancing di kolam Kak Naha (yang sekaranag dah jadi tapak masjid baru).

Nik juga yang perkenalkan dan selalu pinjamkan Yop rekod Bad Company, Led Zeppelin, Deep Purple, Bee Gees dan banyak lagi.

Dan yang Yop paling ingat ialah bila Yop hampir lemas semasa mandi di Sungai Wan Jaba, Akibat mahu menyahut cabaran kawan, Yop terjun dari atas batu yang tinggi ke dalam sungai. Bila timbul semula dan tak dapat nak berpijak ke dasar, Yop terkapai-kapai di muka sungai. Nik terjun dan menarik Yop ke tebing.

Nik pernah anjurkan perlawanan sukan persahabatan di bawah Belia 4B Kepayang dengan belia Chemor. Kami beramai-ramai naik bas ke sana.

Ha... Ha.. Sebenarnya, masa kecil dulu Yop selalu jadi bahan 'buli' tapi dalam bulinya itu sebenarnya dia masih baik...

Ahad, 7 September 2014

Si Bolen

Geghotak lama. Mungkin di hujung gehotak inilah adanya
pokok besar itu!

Bila bercerita tentang kisah Pak Jemut, tak lengkap rasanya kalau tak sentuh kisah dia dengan si Bolen. Kenapa digelar Bolen mungkin sebab Cina yang kudung kaki sebelah kirinya ini tak pernah Yop lihat memakai baju. Asyik berseluar pendek gelebeh ala-ala polis zaman British dulu. Tali pinggang pulak guna tali.

Mereka berdua ini ibarat pasangan lagenda Kampung Kepayang. Sesiapa yang seusia Yop pasti tidak akan asing lagi dengan keletah mereka.

Tak ingat sangat samada pagi atau tengahari, pasti akan dapat tengok mereka berdua memotong kayu di hujung geghotak. Kat situ ada satu pokok besar yang banirnya juga besar. Di celah-celah banir itulah Pak Jemut dan Bolen mengapak dan kemudiannya mengikat kayu... seberkas demi seberkas.

Riuh mulut si Bolen mengarah Pak Jemut meletakkan kayu. Maklumlah, Pak Jemut tiada penglihatan... jadi kerjabuatnya terbatas. namun sikap Pak jemut yang 'mungkin' tak ambil hati sangat dengan marah-marah si Bolen; dan si Bolen pula masih tetap setia bekerja dengan Pak Jemut walaupun kurang efisyen membuatkan nama mereka berdua ini persis lagenda dan tercatat dalam lembaran sejarah Kampung Kepayang. Tak lengkap rasanya kenangan ini kalau tidak bercerita tentang mereka berdua.

Malah, kalau sekarang kita bercakap tentang 1 Malaysia, sebenarnya dulu lagi semangat itu dah ada di kampung Kepayang. Di ujung geghotak... di bawoh pokok beso tu ler...!

Rabu, 3 September 2014

Imam Zohor


Masa itu aku masih belajar di menengah rendah, Sekolah Anderson. Bila rajin, kekadang aku bersembahyang di masjid.

Masa tu sembahyang Zohor. Biasalah.. kampung. Sembahyang waktu siang tak berapa ada orang sebab kerja. Kekadang azan pun tak kedengaran. Kalau hanya aku yang ada, akulah yang azan. Suara tak sedap pun, janji tak silap, kira oklah...

Selain aku, yang ada cuma Pak Jemut. Selesai saja azan, aku pun iqamah. Soalnya sekarang, sapa nak jadi imam? Dalam fikiran aku yang cetek agama ni tapi mahu menghormati orang tua seperti Pak Jemut yang juga kawan abah, biarlah Pak Jemut jadi imam. Tapi persoalannya, boleh ke orang buta jadi imam?

"Kamu aje lah yang jadi imam, Ta'a..," terdengar suara perempuan dari belakang tirai.

Huu... rasanya, walaupun terasa segan, akulah yang mengimamkan sembahyang Zohor hari itu!