Memaparkan catatan dengan label Kampung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kampung. Papar semua catatan

Khamis, 25 Mei 2017

Perkarangan Rumah Yop

Paparkan klip video yang dimuatnaik oleh anak saudara Yop - Amin tentang gajet baru yang dinamakan Flying Minion. Harga pasaran ialah RM40.


Tapi sebenarnya yang Yop nak kongsikan ialah latarbelakang lokasi video ini dibuat ialah di perkarangan rumah Yop. Yang masih lagi belum tercemar dengan urbanisasi. Rumah, laman, tumbuhan... masih seperti dulu. Penuh tradisi dan hijau. Hasil tangan abah masih kekal tak berusik.

Entah bila semua ini dapat dipertahankan lewat masa yang semakin rakus menarah alam semulajadi menjadi hutan batu...

Jumaat, 16 Oktober 2015

Pirate Coffee Yang Osem


Isnin lepas, Yop balik ziarah mak. Macam selalu, mak secara luarannya sihat sahaja. Cuma tampak lebih uzur dari sebelumnya. Cakapnya banyak yang berulang-ulang.

Sebelum balik, Yop ada diberitahu oleh Indrasuraya Buman tentang keenakan Pirate Coffee yang boleh dikatakan agak baru kewujudan di jalan masuk ke Kampung Kepayang. Ianya diusahakan oleh anak watan kampung.

Jadi, Yop pun kepingin mencuba. Harganya boleh tahan juga - RM4 segelas besar. Yop pilih White Coffee. Kemudian baru Yop perasan adanya Vanilla. Tak ngapalah. Ada rezeki, lain kali boleh cuba yang itu pula. 

Yop lihat cara cara resipi mereka. Bancuh dulu kopi. Kemudian bancuh pula susu di bekas yang lain. Campur sikit itu dan ini. Kemudian masukkan air batu yang diracik sederhana kasar ke dalam gelas besar. Tuang kopi tadi. Tutup. Kemudian masukkan susu melalui lubang di atas penutup gelas. Cermat kerjabuat mereka.

Baru Yop ingat, yang sebenarnya Yop pernah lihat dan minum yang sama di Seberang Jaya semasa belikan roti John untuk anak Yop sebelum ini. Arghh... Produk yang sama rupanya. Cuma rasanya mungkin berbeza, mungkin.

Yop cuba peratikan mereka yang berada di keliling gerai itu termasuk si pembancuh kopi. Lansung tak kenal siapa atau anak siapa. Terasa janggal dan terasing. Justeru itu, Yop diam sahaja. Tak mahu tanya atau banyak berbual.

Bila dah siap, Yop bawa kepada Yong untuk minum bersama. Wow... memang osem. Memang sedap. Yong pun mengakui dan angkat ibu jari.

Tapi tak boleh minum selalu, kata Yop.

Kenapa?

Kita ni dah tua. Manis meletin macam ni boleh buat kita masuk wad cepat!

Selasa, 20 Januari 2015

Aiskrim Roti

Minggu lepas, balik kampung nak ziarah mak. Semasa memandu masuk, terserempak dengan Cina jual aiskrim tak jauh dari rumah doktor Jerman. Yop tetiba saja teringin nak beli.

"Apek, aiskrim roti ada ka?"

"Ada.." satu jawapan yang amat menggembirakan Yop.

Dah lama Yop tak pekena roti aiskrim. Yop ingatkan roti aiskrim ni dah pupus dek zaman IT.

Berbunga-bunga di hati Yop melihatkan apek mengeluarkan roti bun dan memotong di tengah-tengah. Kemudian meletakkan hampir 5 skop aiskrim di celah-celah roti.


"Gua kasi lu extra aiskrim." ujarnya lalu menghulurkan roti aiskrim yang berbonggol seolah-olah mau terkeluar semula airkrim itu. Hati Yop seperti terbang ke zaman 70an dulu.

Ya... zaman Yop remaja dulu aiskrim seperti inilah yang menjadi kegemaran. Cina aiskrim akan lalu di depan rumah waktu petang dengan dentingan locengnya. Zaman itu, penduduk Kampung Kepayang boleh dikatakan agak berada berbanding zaman 60an. Jadi, untuk anak-anak merengek mendapatkan aiskrim tidaklah tersangat susah.

Cina aiskrim ni pun pandai juga cari duit. Kalau lalu di depan rumah yang membuat kenduri kahwin atau ada keramaian di masjid, Cina aiskrim akan menungkatkan basikal dan tunggu lamalah dia menanti pelanggan.

Memang tidak dapat dinafikan, Cina aiskrim ini adalah salah satu dari beberapa elemen yang menjadi pemangkin kepada keindahan Kampung Kepayang yang begitu nostalgik selain Cina jual kopi mesin, Cina jual ikan yang dikenali sebagai Pendek, Cina jual kain yang digelar Kelentong, Keling panjat pokok nyior, Keling botol, Cina yang beli ayam dari penduduk kampung, Cina batang pisang, Arab jual kain dan minyak atar serta mungkin banyak lagi yang Yop terlupa nak sebut di sini.

Kesemua mereka amat Yop rindukan dan mungkin tidak akan ada lagi di beberapa zaman selepas ini!

Ahad, 23 Februari 2014

Rakit

Lebih kurang macam nilah ghopenyer...

Yop masih ingat lagi, masa kecil dulu. Rasanya, masa tu titi Kepayang belum ada. Nak pergi ke Pekan Kampung Simee kena nyeberang sungai. 

Yop masih ingat, nyeberang sungai kena naik rakit. Rakit itu di tambat pada tali supaya tak hanyut masa nak nyeberang.

Lokasi rakit ini ikut kata mak di tepi sungai tak jauh dari rumah Ja'a. Kalau tak salah, ada beberapa pokok ara sebesar beberapa pemeluk tumbuh di situ. Buah aranya selalu kelihatan terapung di bawa arus sungai.

Kekadang semasa berakit, akan ternampak bangkai khinzir hanyut terapung ke hilir. Kekadang tersekat-sekat di antara dahan-dahan kayu atau batu di tengah sungai.

Kalau Yop katakan, sungai Kepayang dulu ada rakit, maknanya air sungai dulu dalam. Ya, memang dalam dan jernih. Kekadang, ikut abang sedara tangkap ikan guna pistol ikan.

Ahad, 16 Februari 2014

Kerantung

kredit: My Criter

Masa kecil dulu Yop memang rajin ke masjid - Masjid Al Khairiah, Kampung Kepayang. Kalau bernasib baik, bila waktu sembahyang dah masuk, Yop akan diminta untuk mengetuk kerantung. Kekadang berebut-rebut giliran dengan kawan-kawan yang lain.

Nak mengetuknya pun ada caranya. Mesti masukkan alu ke dalam lubang. Ketuk kiri dan kanan dengan cepat lebih kurang setengah minit. Kemudian ketuk bahagian luar kerantung. Mula-mula dengan tempo yang perlahan. Kemudian percepatkan sedikit. Dan kembali perlahankan rentak bila hampir ke penghujungnya. Bila sampai ke penghujung ketukan, Ketukan itu mesti dibilang mengikut rakaat sembahyang yang akan di dirikan. Kalau Zohor, kena ketuk 4 kali menandakan 4 rakaat. Kalau Subuh ketuk cuma 2 kali sahaja menandakan 2 rakaat.

Yop agak kerantung ini mestilah dibuat dari kayu yang keras. Justeru itu ianya tahan lama walau diketuk berulang kali di setiap waktu.

Tak pasti samada kerantung itu masih tergantung di kawasan kolah. Ataukah dah dibuangkan?

Apapun, kenangan ini memang indah dan sayu bila diulang kenang. Masjid dan kerantung inilah sebenarnya antara elemen pendidikan yang akhirnya membentuk Yop seorang manusia seperti hari ini. 

Khamis, 30 Mei 2013

Klip Video Kampong Kepayang

Terjumpa klip video ini semasa melayari facebook Kampong Kepayang Fair Park Ulu Kinta di sini. Yop pun tak faham kenapa ditulis perkataan Ulu Kinta itu sedangkan Ulu Kinta dan Ipoh adalah kawasan berbeza.

Hurrmmm... Apa pun, kita layan klip video ini. Gambar titi Kepayang itu macam Yop punya jer... ( rujuk sini ) Mungkin pemilik klip video ini ambil dari googles.

Sabtu, 16 Februari 2013

Al Fatihah!


Yop baru dapat tahu dari FB Kg Kepayang tentang Imam Sham baru saja meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala lumpur. Yop tak pasti Imam Sham ini samada imam Sham yang pernah membaca khutbah di mimbar semasa Yop di kampung dulu atau iman Sham yang lain.

Apappun, Al Fatihah! Muga rohnya di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh.

Rabu, 14 Mac 2012

Nostalgia : Insiden Runtuhan Gunung Cheroh





















Hujan renyai membasahi Kampung Kachang Putih di Gunung Cheroh, Ipoh, Perak pada malam 18 Oktober 1973. Suasana sedikit dingin tetapi kebanyakan penduduk mula merasakan 'kehangatan' sambutan Deepavali yang bakal menjelma kira-kira seminggu saja lagi.

Ramai antara mereka tidak berada di perkampungan itu lantaran sibuk membeli pelbagai barang persiapan sambutan di bandar. Kebanyakan penduduk yang tidak ke mana-mana pula sekadar memerap di dalam rumah. Mereka tidak mahu tubuh dibasahi air hujan yang merintik jika keluar dari rumah masing-masing. Secara tiba-tiba, satu bunyi aneh yang teramat kuat dan menakutkan bergema sehingga menggemparkan kedamaian dan suasana sepi di perkampungan itu.

Bunyian yang menggegarkan kawasan sekitar jam 9 malam itu segera menyentak debaran yang tidak sudah di jiwa beberapa penduduk yang masih berada di dalam rumah. "Bunyi apakah itu?" Mereka tertanya-tanya dalam kebingungan. Hairan dengan bunyian pelik itu menyebabkan mereka melangkah ke luar kediaman masing-masing untuk meninjau kejadian apakah yang sebenarnya sudah berlaku.

Ketika itulah pandangan masing-masing terpaku dan jasad kebanyakan penduduk terbabit tergamam. Debaran semakin menghentak dada, perasaan takut meresap ke dalam diri dan cemas mengiringi rasa terkejut tatkala melihat kejadian ngeri di hadapan mata mereka.

















Tanpa diduga, malam yang sepi dan damai di Kampung Kachang Putih yang terletak di kaki Gunung Cheroh sudah bertukar menjadi malam petaka pada hari itu. Dalam sekelip mata, 20 rumah, dua kedai selain kandang ternakan lembu dan kambing hilang dihempap bongkah batu kapur gergasi seberat lebih sejuta tan.

Bayangan ngeri mula menjelma tatkala memikirkan nasib lebih 40 penghuni termasuk kanak-kanak yang berada dalam rumah berkenaan ketika batu gergasi itu menghempap. Bagaimanakah keadaan mereka? Ketika itulah suara jeritan, tangisan dan pekikan bergema memenuhi ruang udara kawasan berkenaan. Nyata ada mangsa yang cedera parah dan terperangkap di bawah batu gergasi yang menghempap.

Dalam sekelip mata juga penduduk berdekatan mula mengerumuni lokasi runtuhan dahsyat itu. Keadaan cemas dan panik masih tidak hilang ketika mereka mula menggali tanah dan mengalihkan kesan runtuhan bagi mencari mangsa yang terperangkap selain memberi bantuan kepada mangsa yang cedera.

Tidak lama selepas itu, jentera bomba dan pelbagai pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian. Tanpa membuang masa, kerja-kerja mencari segera dilakukan dengan harapan dapat menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap. Jentolak dan lori digunakan bagi menolak dan mengangkat serpihan batu yang runtuh.

Operasi mencari dan menyelamat disertai lebih 500 orang termasuk daripada beberapa pertubuhan sukarela. Ketika itulah, pelbagai pandangan mengerikan kelihatan di sebalik tanah dan serpihan batu yang digali. Selain jasad mayat yang berjaya dikeluarkan daripada timbusan, ada antara pasukan pencari yang hanya menemui cebisan daging atau bahagian badan saja selepas tubuh mangsa berkecai dihempap batu keras.

Dengan perasaan seram, ngeri dan takut, bahagian anggota jasad itu dikumpulkan di suatu tempat tertentu. Segelintir mangsa yang terselamat dan berjaya ditemui selepas beberapa jam gerakan mencari di bawah runtuhan batu dan tanah itu segera dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh (HBI).

Usaha mencari mangsa atau mayat nyata tidak mudah dilakukan. Saiz batu yang menghempap teramat besar dan gergasi menyebabkan ia sukar dialihkan. Justeru, kebanyakan mangsa yang terbenam ke dalam tanah di bawah batu itu sukar untuk dibawa keluar. Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Kamaruddin Isa, tiba di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi selepas bergegas pulang dari Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan tragedi berkenaan. Berjam masa berlalu, matahari pagi mula menjelma tetapi gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan. Bagaimanapun, kesukaran yang teramat menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan mencari tidak lama selepas itu sekali gus membiarkan mayat yang belum ditemui terus berada di bawah batu gergasi berkenaan.

Berdasarkan laporan selepas kejadian, 12 mayat ditemui selepas usaha menggali dilakukan manakala kira-kira 30 lagi mayat, sebahagian besarnya keturunan India dipercayai masih tertanam di bawah batu besar itu dan gagal di bawa keluar sehingga kini. Kematian akibat tragedi antara paling tragik di negara ini itu tidak saja mengorbankan kira-kira 42 nyawa manusia tetapi kira-kira 60 ekor lembu dan kambing yang dikurung di kandang yang turut tertimbus dihempap batu gergasi.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan membuat keputusan memindahkan 120 penduduk yang masih tinggal di Kampung Kachang Putih itu ke tempat lain selepas menyedari yang lokasi itu tidak lagi selamat untuk diduduki. Sebahagian besar mereka kemudian berpindah ke kawasan penempatan baru di Buntong, Ipoh tetapi nama Kampung Kacang Putih dikekalkan.

Selepas 37 tahun tragedi itu berlalu, bongkah batu besar itu masih berada pada kedudukan seperti ketika kejadian itu berlaku. Ia kekal sebagai 'batu peringatan' bagi mengingati betapa tragisnya kejadian ngeri itu selain sebagai 'nesan' buat kira-kira 30 mangsa yang masih 'terkubur' di bawahnya.


Nota:
Catatan ini di salin dari emel yang dihantar oleh adik: Muhammad Firdaus

Rabu, 17 Ogos 2011

Gambar Bersejarah Masjid Kepayang

Semasa melayari blog Masjid Al Khairiah, kampung Yop, terjumpa gambar-gambar lama semasa Perasmian Masjid Al Khairiah di sekitar 1968. Hah, masa tu Yop berumur 8 tahun. Hu... Yop tak ingat la peristiwa tu. Foto-foto itu adalah sumbangan memori dari En Tajul Azwa.




Foto Ihsan dari SINI

Khabarnya, Masjid yang ada sekarang ini akan digantikan dengan masjid yang baru. Muga dengan adanya masjid baru ini, generasi baru akan memanafaatkannya sebaik mungkin.

Ahad, 14 Ogos 2011

Kampung Kepayangku

Semasa melayari YOUTUBE, terjumpa klip video ini. Dimuatnaik ke sini untuk tatapan, imbau kenangan dan arkib.

Mungkin sebahagian dari pemandangan yang ditunjuk di sini sudah tiada lagi di Kampung Kepayang sekarang lewat ditelan urbanisasi.


kredit buat: zabidi59

Ahad, 27 Jun 2010

Sek Ren Seri Kepayang

Baru ni Yop balik kampung. Dalam perjalanan tu ternampak kelibat sekolah Yop dulu - Seri Kepayang. Teruja sungguh hati Yop lansung Yop singgah.

Sekolah ni banyak berjasa pada Yop sekeluarga. Boleh dikatakan kesemua adik beradik Yop malah orang kampung Yop belajar di sini. Kami berjalan kaki dari rumah. Agaknya adalah dalam 4 - 5 kilometer dari rumah Yop.

Yop bersekolah di sini dari tahun 1967 hingga 1973. Selain dari Kg Kepayang, ada juga yang datang dari Kg Manjoi, Kg Tengku Hussain, Berek Polis dan FRU Sungai Senam. Guru Besar masa tu Cikgu Embun. Guru Matematik merangkap guru disiplin pula Cikgu Marfuzah. Ingat sangat nama ni sebab dia selalu ronda kelas bawa rotan.

Selalunya semasa loceng balik dibunyikan kami kena angkat kerusi dan terbalikkan ke atas meja. Kemudian guru yang mengajar akan bagi soalan matematik dalam bentuk congak. Siapa yang dapat jawap dia akan balik dulu.

Sekolah ini memang banyak kenangan. Kawan-kawan yang masih Yop boleh ingat ialah Yusuf Itam, Yusuf Murad, Latifah, Noraini Saad, Jantan, Kamaruddin Dali, Jamaluddin Basri dan Ahmad Muzaffar.

Bangunan sekolah, kantin dan bilik air masih kekal hingga hari ini. Cuma Yop tak nampak padang sekolah.

Aku masih dan tetap akan ingat sekolah ini. Cuma sekolah ini entah ingat tidak akan Yop sebab anak murid keluarannya ramai. Mungkin sudah puluh ribu. Mungkin ratus ribu.

  • Tak sangka di sini pun dah ada Kelas Pendidikan Khas

  • zaman Yop dulu pondok ni takda
  • Ini bangunan lama. Kami selalu berbaris di depan sekolah sambil nyanyi lagu negaraku. kadang-kadang cikgu suruh murid-murid buat peresembahan.


  • Pintu pagar sekolah

Rabu, 24 Mac 2010

Geghotak Sungai

Semasa Yop balik kampung baru-baru ini, Yop terpanggil untuk berhenti sebentar di jambatan sungai yang menghubungkan Kampung Kepayang Hulu dan Hilir (ini terma yang sering penduduk kampung guna semasa Yop masih hingusan dulu).


Ikut istilah Yop masa kecil dulu jambatan ini dipanggil geghotak (gerotak). Geghotak ini boleh dikatakan sudah lama juga pembinaanya. Semasa Yop masih belajar di IKM dulu sekitar 1980 sudah ada.


Inilah satu-satunya jalan yang menghubungkan Kampung Kepayang dengan Bandar Ipoh selain dari menyusuri jalan keretapi yang tidak jauh dari rumah Yop. Dulu sungai ini lebar dan kalau hujan lebat, airnya dalam dan merbahaya jika hendak menyeberang.

Sebelum jambatan yang ini, jambatan yang sering Yop gunakan ialah jambatan kayu.


Inipun sebenarnya adalah tapak jambatan kayu yang kedua. Jambatan kayu yang pertama kalau tidak salah Yop adalah terletak di tapak jambatan baru sekarang ini. Jambatan kayu yang kedua hampir runtuh kerana tidak cukup teguh menahan terjahan air sungai yang dalam selepas hujan. Terutama bila air sungai juga membawa sampah sarap serta kayu melanggar tiang-tiang jambatan.

Apapun, jambatan atau geghotak dan sungai ini memang menjadi nadi kepada perhubungan dan kemudahan pengangkutan penduduk Kampung Kepayang; kampung tempat Yop dibesarkan.

Khamis, 9 April 2009

Restoran Tasik Raban

Hem... Jangan terkejut bagi yang pernah pergi ke Tasik Raban di Kuala Kangsar. Restoran yang ni sebenarnya terletak di belakang Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh. Semasa ngelewo-ngelewo cari makan sebelum singgah ke rumah mak dari Penang, terjumpa restoran ni. Apalagi, yong yang memang gemo makan gulai tempoyak tak lepas peluang singgah menjamu selera di sini. Best kan! Cuba-try la kalau tak caya...
Kalau dari Jalan Ghazali Jawi depan Stadium Indera Mulia menghala ke Ipoh Garden, terus ke roundabout dan ambil pusingan pukul 3. Terus ke depan dan lihat sebelah kiri.



gulai tempoyak ikan patin









sambal tempoyak

Selasa, 7 April 2009

Jalan Keretapi

Jalan keretapi ini tidaklah jauh dari rumah aku. Di sinilah tempat aku bermain. Aku dan kawan-kawan akan menyorok di sebalik rimbunan pokok ubi kayu yang ditanam oleh Cina Uban dan membaling ketul-ketul tanah ke arah gerabak keretapi yang lalu.

Di sini juga aku dan kawan-kawanku akan meletakkan paku besar ke atas rel. Bila keretapi lalu, paku itu akan menjadi leper dan mudahlah kami mengubahsuainya menjadi pisau.

Bunyi keretapi yang lalu ini juga, lebih-lebih lagi di tengah malam, siulannya jelas memecah keheningan. Dulu, manalah ada jam. Bunyi keretapi yang lalu inilah yang akan memberitahu kami sekeluarga pukul berapa ketika itu.

Kata Wan Biah, di landasan inilah Basiron pernah mati di gilis keretapi. Selepas di gilis, ada orang memercikkan kesan darahnya di landasan itu dengan air limau nipis. Apalagi, bila tengah malam akan terdengar bunyi teriak tangis Basiron. Entah siapa Basiron itu dan kenapa dia bunuh diri tidaklah aku ketahui.

Dan lebih aku tidak tahu ialah samada benar cerita Wan Biah atau sekadar helah untuk menakut-nakutkan kami daripada pergi bermain dilandasan keretapi itu.

Di tepi jalan keretapi inilah laluan kami kalau hendak ke rumah Mak Nyah di Kampung Tasek. Nak ikut jalan raya, terlalu jauh dan merbahaya kerana sunyi.

Bila saja ada keretapi lalu, kami akan tergesa-gesa masuk dalam semak untuk mengelakkan kami dari terkena air panas yang memercik dari kepala keretapi. Masa itu keretapi masih menggunakan injin wap. Dan bila kepala keretapi atau lokomotif itu lalu, asap akan berkepul keluar dari corong bersama airnya yang panas. Aku akan memekup telingaku dengan tangan kerana tak tahan mendengar gegeran roda keretapi itu melanggar rel.

Gunung yang tampak itu adalah Gunung Mat Sirat. Nanti kalau berkesempatan, aku akan ceritakan perihal gunung ini.