Jalan keretapi ini tidaklah jauh dari rumah aku. Di sinilah tempat aku bermain. Aku dan kawan-kawan akan menyorok di sebalik rimbunan pokok ubi kayu yang ditanam oleh Cina Uban dan membaling ketul-ketul tanah ke arah gerabak keretapi yang lalu.
Di sini juga aku dan kawan-kawanku akan meletakkan paku besar ke atas rel. Bila keretapi lalu, paku itu akan menjadi leper dan mudahlah kami mengubahsuainya menjadi pisau.
Bunyi keretapi yang lalu ini juga, lebih-lebih lagi di tengah malam, siulannya jelas memecah keheningan. Dulu, manalah ada jam. Bunyi keretapi yang lalu inilah yang akan memberitahu kami sekeluarga pukul berapa ketika itu.
Kata Wan Biah, di landasan inilah Basiron pernah mati di gilis keretapi. Selepas di gilis, ada orang memercikkan kesan darahnya di landasan itu dengan air limau nipis. Apalagi, bila tengah malam akan terdengar bunyi teriak tangis Basiron. Entah siapa Basiron itu dan kenapa dia bunuh diri tidaklah aku ketahui.
Dan lebih aku tidak tahu ialah samada benar cerita Wan Biah atau sekadar helah untuk menakut-nakutkan kami daripada pergi bermain dilandasan keretapi itu.
Di tepi jalan keretapi inilah laluan kami kalau hendak ke rumah Mak Nyah di Kampung Tasek. Nak ikut jalan raya, terlalu jauh dan merbahaya kerana sunyi.
Bila saja ada keretapi lalu, kami akan tergesa-gesa masuk dalam semak untuk mengelakkan kami dari terkena air panas yang memercik dari kepala keretapi. Masa itu keretapi masih menggunakan injin wap. Dan bila kepala keretapi atau lokomotif itu lalu, asap akan berkepul keluar dari corong bersama airnya yang panas. Aku akan memekup telingaku dengan tangan kerana tak tahan mendengar gegeran roda keretapi itu melanggar rel.
Gunung yang tampak itu adalah Gunung Mat Sirat. Nanti kalau berkesempatan, aku akan ceritakan perihal gunung ini.
1 ulasan:
Salam perkenalan buat empunya blog Sri Mersing
permission to link granted - no problem. saya juga suka your blog. sungguh sayu dengar Tan Sri menyanyi. silalah berkunjung lagi. tapi buat masa ni pc rosak!!
Seri Kepayang
Catat Ulasan