Ahad, 12 Julai 2015

Bangun Sahur


Semalam, kawan Yop ada wassup gambar orang kampung kejutkan jiran-jiran untuk bangun sahur. Ianya bukanlah satu gambar dongeng tapi sebenarnya realiti masa Yop kecil dulu di kampung. Kami bukannya ada jam penggera untuk kejutkan bila waktu sahur tiba. Orang miskin katakan. Nak beli jam pun tak ada duit. Rumah Yop pulak terperosok jauh di hujung kampung. Jauh di balik kebun getah Wan Jaba dan kebun Pok Din. Taharim dari masjid pun kekadang aje boleh dengar. Jam cuma berpandukan pada bunyi keretapi lalu atau siren waktu kerja/makan pekerja kilang simen.

Jadi adalah anak muda yang rajin dan sanggup keliling kampung, kayuh basikal kejutkan jiran yang belum bangun. Nak tahu bangun atau belum bila lihatkan cahaya dalam rumah. Kalau terang dengan pelita atau gasolin, maknanya dah bangunlah tu. Kalau belum, anak-anak muda ini akan menjerit gerakkan isi rumah malah ada yang ketuk dinding rumah.

Itulah semangat kejiranan yang hangat di antara sesama ahli kampung. Ambil berat akan kebajikan jiran-jiran sebelah rumah.

Jiran rumah Yop masa tu cuma Wan Biah dan Pak Berahim saja. Malam-malam, memang sunyi kawasan rumah Yop masa tu...