Setiap kali ada majlis kenduri kahwin, abah selalu diminta bernyanyi. Abah membalut mikrofon dengan sapu tangan. Abah memakai cermin mata hitam. Dan abah akan menyanyikan lagu 'SRI MERSING". Akhirnya, abah masyhor dengan gelaran 'Am Sri Mersing'.

Khamis, 18 Disember 2014

Dapur Kayu



Bila melihatkan gambar dapur kayu ni, Yop akan segera teringat pada opah Leha yakni mak kepada abah. Rumah opah tak jauh dari rumah Yop. Tak jauh juga dari rumah Jet dan rumah Lemi.

Laman rumah opah ada pokok manggis. Di bawah pokok manggis inilah Yop selalu bermain dengan kawan-kawan. Redup dan sejuk walaupun tengahari itu panas. Tanahnya pula tidak keras kerana bersemba. Semba ini lebih halus dari pasir.

Masa Yop kecik-kecik dulu, dapur seperti inilah tempat Yop memasak nasi, goreng ikan, masak koi lempeng dan sambal tumis untuk makan bersama adik-adik Yop - Kedek, Matun, Niza, Napi, Duyah dan Darul. Masa tu mereka masih hingusan. Kekadang ditepi pipi berkeretang dengan hingus yang kering kerana dipalit dengan pergelangan tangan begitu saja.

Bila musim hujan dan kasut sekolah tak sempat kering, kat tepi dapur inilah Yop diangkan supaya boleh kering. Kekadang hingga terbau getah kasut dek panas bara.

Yang bestnya, bila nak hidupkan api. Ranting kayu memang tak susah nak cari. Depan rumah ada kebun getah Wan Jaba. Ambil aje satu ranting yang jatuh dah boleh buat untuk memasak. Ranting pokok getah memang senang nak hidupkan api.

Sebagai starter, Yop kerat getah tiub basikal yang memang siap tergantung kat tepi. Tengit bau getah tayar terbakar, cepat-cepat yop selitkan di celah-celah ranting kayu yang dah siap Yop susun antara 2 tungku. Asap hitam berkepul naik ke atas.

Kalau api terpadam dan nak hidupkan semula,  Yop guna tudung periuk untuk mengipas. Atau kalau canggih sikit guna buluh atau silinder loyang.

Nasib tak baik, bukannya api yang menyala tapi abu dapur itu yang berterbangan ke muka...ha..ha..