Rabu, 22 Julai 2009

Hobi Abah

Abah mempunyai banyak hobi. Selain menyanyi dan bermarhaban, abah suka bela burung merbok dan terkukur. Hingga sekarang masih terngiang-ngiang di telinga Yop bagaimana setiap pagi Yop akan terdengar bunyi burung merbok abah berbunyi.

Abah juga suka ambil gambar. Yop sempat tengok kamera yang kita tenang dari atas untuk memastikan ruang gambar itu cukup sebelum memetik suis. Kemudian mentol lampu akan mengeluarkan cahaya yang cukup terang sebelum lensa kamera merakam imej yang ada di hadapan abah.


Abah pandai ambil gambar. Dan abah tak kekok pergi ke hadapan majlis untuk ambil gambar. Hinggakan taukeh Cina tempat abah cuci gambar pun rasa hairan macammana abah boleh ambil gambar-gambar seperti ini.


Rasanya tak perlu diceritakanlah siapa dan dimana gambar-gambar di atas abah ambil. Dan rasanya kalian pun tentu sama hairan dengan taukeh Cina tu kan!

Jumaat, 17 Julai 2009

Teringat Abah...

Entah kenapa Yop teringat abah. Ketawa abah. Motor abah. Mesin rumput abah. Dan cermin mata hitam abah.

Walaupun abah hanya insan kampung. Tak pandai pasal Sains dan Teknologi macam Yop. Tak pandai matematik macam Yop. Tapi abah boleh repair radio. Boleh repair mesin rumput.

Malah abah boleh menyanyi. Boleh bermarhaban. Dan boleh berzanji. Abah pandai masak lemang.

Yang paling hebat, abah Yop boleh didik Yop dan adik-adik semua hingga menjadi manusia seperti sekarang.

Muga abah aman damai di alam barzakh sana.

Al fatihah!

Ahad, 12 Julai 2009

Kia'



Itu adalah foto kami sekeluarga. Sudah tentu anak yang paling tinggi duduk di belakang adalah Yop. Rasa-rasanya tika itu Yop masih sekolah rendah sebab berbaju batik. Kanan sekali adalah Kedek. Kemudian Hanapi, adik yang paling bongsu ( nanti aku ceritakan ), Niza, Darul, Duyah dan Matun. Baju Matun dan Duyah mak buat sendiri.

Adik yang bongsu, yang duduk di atas riba abah itu adalah Muhammad Nor. Akan tetapi disebabkan dia suka menangis maka dipanggil Kia'. Sewaktu dia sudah pandai merangkak, dia suka pergi ke tepi tikar getar di rumah. Kalau senyap aje tu, tak lain projeknya ialah menyelak tikar getah. Kemudian mencolek habuk/pasir yang ada dicelah tikar dan memakannya. Tak tahu Yop kenapa dia gemar sangat makan yang itu.

Kalau dia masih hidup Yop agak dia berumur awal 30an. Masih ingat lagi masa itu hujan lebat. Dia demam. Masih terbayang mak meribanya di ruang tengah rumah ( di depan bilik Yop). Mak menangis melihatkan Kia' seperti dalam nazak. Mak panggil Wan Biah minta jampikan sesuatu.

Akan tetapi Allah lebih menyayangi Kia'. Mata Kia' juling ke atas bersama dadanya yang berombak dan akhirnya tidak bernafas lagi. Mak menangis. Yop masa itu hanya melihat suasana yang Yop pertama kali saksikan.

Selain Kia' Yop juga kehilangan seorang adik perempuan bernama Ainon. Kalau dia masih hidup umur nya kini sekitar 46 tahun. Dia kakak kepada Kedek. Aku tak ingat lansung wajah Ainon. Mungkin masa itu aku masih terlalu kecil.

Begitu sejarah di sebalik foto itu. Dan foto itu ada bersamaku di sini. Aku 'seludup' keluar dari rumah mak di kampong tanpa siapa pun mengetahui.