Setiap kali ada majlis kenduri kahwin, abah selalu diminta bernyanyi. Abah membalut mikrofon dengan sapu tangan. Abah memakai cermin mata hitam. Dan abah akan menyanyikan lagu 'SRI MERSING". Akhirnya, abah masyhor dengan gelaran 'Am Sri Mersing'.

Jumaat, 19 Mac 2010

Keluarga Dukut

Semasa merayau-rayau dalam alam siber mencari maklumat tentang Kampung Kepayang, yop terjumpa bahan ini. Mungkin berguna untuk dikongsi bersama walaupun majlis ini sudah lama berlansung.

Rumah keluarga besar ini tak jauh dari Masjid Kampung Kepayang.

Bila agaknya nak buat himpunan keluarga Abdullah Sani ( bapa kepada abah )?


ARKIB : 27/10/2006
800 ahli keluarga Dukut berkumpul

Oleh ANGELINA SINYANG

IPOH 26 Okt. – Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi keluarga bekas pengasas Kampung Kepayang, Fair Park di sini, Allahyarham Imam Awang apabila kira-kira 800 ahli keluarganya meliputi lima generasi, berkumpul untuk sama-sama menyambut hari lebaran, semalam.

Lebih menggembirakan, pertemuan kali keenam itu membabitkan sanak saudara dari seluruh Malaysia serta luar negara seperti Medan, Indonesia; Sudan, Pakistan dan Brunei.

Usaha mengumpulkan keluarga itu dilakukan oleh Persatuan Keluarga Dukut dan Halijah iaitu waris Imam Awang hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya, Teh Fatimah.

Zaira Tak yang merupakan cicit kepada Allahyarham berkata, tujuan perhimpunan itu adalah bagi membolehkan mereka berkenalan antara satu sama lain terutama golongan muda keturunan Dukut dan Halijah yang mungkin tidak kenal saudara mara mereka.

Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Pemasaran dengan syarikat Coridor Padu K.L memberitahu, usaha mengadakan perjumpaan itu dirancang sejak beberapa bulan lalu dengan menyebarkan maklumat melalui e-mel, sistem pesanan ringkas, telefon dan memberitahu ahli keluarga.

‘‘Perjumpaan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim ini mula diadakan pada 1990 dan dilanjutkan selang dua atau tiga tahun sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan Keluarga Dukut dan Halijah di Kampung Kepayang, Fair Park, di sini semalam.

Menurut Zaira, hasil perjumpaan kali ini, ahli-ahli persatuan yang hadir bersetuju mengadakan perhimpunan itu selang lima tahun sekali secara tetap agar tidak terlalu membebankan kerana ada antara mereka yang mahu berhari raya di tempat lain bersama keluarga mertua masing-masing.

Ditanya tentang salasilah keturunan Dukut dan Halijah, Zaira berkata, arwah neneknya, Halijah merupakan anak tunggal kepada Imam Awang dengan isteri pertamanya, Teh Fatimah.

Imam Awang yang mengasaskan Kampung Kepayang merupakan seorang pendakwah berasal dari Kelantan.

Beliau yang datang ke Perak pada 1880-an telah berkahwin dengan Teh Fatimah iaitu anak saudara kepada Datuk Panglima Kinta dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Halijah.

Selain Teh Fatimah, Imam Awang turut berkahwin dengan empat wanita lain iaitu isteri keduanya, Halijah; Siti Hajar (isteri ketiga), Wan Teh Rawi (isteri kelima) dan isteri keempat yang tidak dikenali namanya tetapi berasal dari Jerlon, Manong, Kuala Kangsar.

Hasil perkahwinan tersebut, beliau memperoleh lima anak kecuali dengan isteri kelima tidak dikurniakan cahayamata.

Menurut Zaira, beliau bersama tujuh lagi adik-beradiknya yang lain merupakan keturunan Imam Awang dari perkahwinan Halijah dengan datuknya, Dukut Maharajo, seorang pemuda berasal dari Medan.


3 ulasan:

maiyah berkata...

fuhh.. ramainya

Sri Mersing berkata...

Tapi sekarang rumah waris Dukut itu kembali sunyi bilamana yang ramai ini kembali semula ke tempat masing-masing.

Kepayang berkata...

SEJARAH KAMPUNG KEPAYANG

merujuk SEJARAH BERTULIS, kampung kepayang dibuka seawal kurun ke 17 oleh Datuk Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembia (rujuk "Kinta Valley" tulisan Khoo Salma Nasution & Abdur Razzaq Lubis).

Walau bagaimanapun SEJARAH SEBENAR kampung ini dipercayai dibuka lebih awal daripada tarikh tersebut (sebelum tahun 1600) sama ada oleh Datuk Panglima Kinta yang Pertama, Toh Tambak ataupun Maharaja Kinta ke 2, Toh Chandang ataupun Maharaja Kinta Pertama, Toh Changkat Piatu. (Datuk Panglima Kinta Toh Tambak merupakan anak kepada Maharaja Kinta ke 2, Toh Chandang dan cucu kepada Maharaja Kinta Pertama, Toh Changkat Piatu). Rujukan lain, "Cempaka Sari - Sejarah Kesultanan Negeri Perak" tulisan Kolonel Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Basri.

untuk maklumat lanjut layari

https://www.facebook.com/groups/kampungkepayang/

saksikan

Dokumentari Tanah secupak, disebalik Kampung Kepayang

http://www.youtube.com/watch?v=1QjaIzGkJ8g

Dokumentari Dato' Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Toh Ngah Jabar @ Toh Gemok Jabar

http://www.youtube.com/watch?v=SxkEXsjUvMc