Napi |
Dalam banyak-banyak kelahiran adik-adik Yop; yang paling Yop ingat ialah Napi. Ada 2 peristiwa yang masih terpateri kuat di fikiran Yop. Satunya agak lucu tapi yang satu lagi agak memedihkan jika dikenang kembali.
Biar Yop imbas peristiwa yang lucu. Yang memedihkan jiwa raga tu... nantilah Yop timbang-timbang. Kalau sesuai Yop tulislah kisah tu nanti. Kalau sebaliknya biarlah ianya bekubur bersama hayat Yop.
Mak melahirkan Napi di Hospital Ipoh (bukan Hospital Tuanku Bainun tapi hospital lama). Tinggallah Yop menjaga adik-adik. Bila selesai urus adik Yop akan pergi tengok mak di hospital.
Satu hari tu, selepas Yop dah memasak untuk tengahari dan bagi makan adik-adik ( masa itu adik-adik Yop ialah Kedek, Matun, Niza dan Duyah ), Yop bekalkan sikit nasi dan sayur untuk dihantar kepada mak di hospital. Yop tak ingat apa-apa pun dan tak perasan apa-apa pun tentang sayur yang Yop masak itu. Yang Yop tahu, Yop dah masak dan perlu bagi mak yang masa tu dah bersalinkan Napi. Yop ingat ok la tu!
Mana tau, rupa-rupanya di satu hari; selepas mak dah keluar dari hospital dan berada di rumah di ziarahi oleh jiran; Yop terdengar mak bercerita pada mereka;
"Kamu tahu si Ta'a (gelaran Yop masa kecil) tu... di hanto nya aku gulai pucuk ubi masa aku di hospital. Mana aku boleh makan. Pucuk ubi tu angin..."
Ha.. ha.. ha... Mana le Yop tahu ada sayur yang boleh makan dan tak boleh makan sebab angin. Yop pun bila dah kahwin ni aje tahu pasal angin dalam badan ni.
Ini satu pengajaran yang cukup berguna buat Yop selepas itu. Bukan semua sayur itu baik untuk semua orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan