Ahad, 25 Julai 2010

Ayah Yang

Ini gambar ayah Yang. Namanya Ihsan bin Abdullah Sani. Kekadang, ada juga orang panggil dia Hassan.

Tak pasti le tahun berapa gambar ni di ambil. Tapi kalau tengok gaya tv tu, zaman tv hitam putih. Mak yang duduk di kiri tu pun nampak sihat bebenor lagi.


Ayah Yang ni ialah abang yang paling tua dalam salasilah keluarga abah. Tinggal di Tambun. Kerjanya kalau tak silap Yop sebagai tukang kebun di Hotel City, Ipoh.

Sekarang ini bersama dengan ayah Yang ialah isteri kedua ( kalau tak silap le. kalau silap harap beritahu ). Dengan isteri yang pertama, ayah Yang mendapat 2 orang anak yakni abang Tan dan yong Fuzi. Mereka berdua ni kemudiannya Opah jaga di Kampung Kepayang. Dengan isteri kedua ni mendapat ramai anak bermula dari abang Mat hinggalah ke ..... ( sori, tak ingat le pulak!).

Ayah Yang tak pandai naik motosikal. Jadi kalau datang ziarah keluarga Yop di Kampung Kepayang selalunya naik basikal. Jauh juga nak mengayuh tu. Tapi disebab jalan raya tahun-tahun itu tak berapa sibuk, sampai juga le dia.

Sekarang ni ayah Yang dah uzur sangat. Udah tak boleh naik basikal. Jadi tiba le giliran anak-anak saudaranya ziarah dia di Tambun. Termasuk Yop le tu!

Tapi nampak-nampaknya, Yop pun 2X5 macam ayah Yang juga. Bak kata Os, bukannya maleh tapi dah tak kose....

Ahad, 27 Jun 2010

Sek Ren Seri Kepayang

Baru ni Yop balik kampung. Dalam perjalanan tu ternampak kelibat sekolah Yop dulu - Seri Kepayang. Teruja sungguh hati Yop lansung Yop singgah.

Sekolah ni banyak berjasa pada Yop sekeluarga. Boleh dikatakan kesemua adik beradik Yop malah orang kampung Yop belajar di sini. Kami berjalan kaki dari rumah. Agaknya adalah dalam 4 - 5 kilometer dari rumah Yop.

Yop bersekolah di sini dari tahun 1967 hingga 1973. Selain dari Kg Kepayang, ada juga yang datang dari Kg Manjoi, Kg Tengku Hussain, Berek Polis dan FRU Sungai Senam. Guru Besar masa tu Cikgu Embun. Guru Matematik merangkap guru disiplin pula Cikgu Marfuzah. Ingat sangat nama ni sebab dia selalu ronda kelas bawa rotan.

Selalunya semasa loceng balik dibunyikan kami kena angkat kerusi dan terbalikkan ke atas meja. Kemudian guru yang mengajar akan bagi soalan matematik dalam bentuk congak. Siapa yang dapat jawap dia akan balik dulu.

Sekolah ini memang banyak kenangan. Kawan-kawan yang masih Yop boleh ingat ialah Yusuf Itam, Yusuf Murad, Latifah, Noraini Saad, Jantan, Kamaruddin Dali, Jamaluddin Basri dan Ahmad Muzaffar.

Bangunan sekolah, kantin dan bilik air masih kekal hingga hari ini. Cuma Yop tak nampak padang sekolah.

Aku masih dan tetap akan ingat sekolah ini. Cuma sekolah ini entah ingat tidak akan Yop sebab anak murid keluarannya ramai. Mungkin sudah puluh ribu. Mungkin ratus ribu.

  • Tak sangka di sini pun dah ada Kelas Pendidikan Khas

  • zaman Yop dulu pondok ni takda
  • Ini bangunan lama. Kami selalu berbaris di depan sekolah sambil nyanyi lagu negaraku. kadang-kadang cikgu suruh murid-murid buat peresembahan.


  • Pintu pagar sekolah

Khamis, 20 Mei 2010

Sekolah Anderson

Yop ambil SRP di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Tahun 1975 adalah tahun bermulanya aliran Melayu (Malay medium) di perkenalkan dan kami adalah pelajar pertama mengambil peperiksaan dalam Bahasa Malaysia. Yop dapat tempat ketiga terbaik apabila keputusan dikeluarkan dengan 11 agreget. Tempat pertama dan kedua adalah pelajar Cina.

Bersama Yop di sekolah itu ialah Jalil Ibrahim. Beliau adalah salah seorang peserta Pertandingan Bintang RTM (atau mungkin Bakat TV) ketika itu. jalil Ibrahim selalulah menjadi ketua semasa menyanyikan lagu sekolah disetiap kali perhimpunan.

Antara cikgu yang masih Yop ingat ialah Harbans Singh; mengajar Bahasa Inggeris. Cikgu Harbans Singh ni cukup gemar tarik hidung pelajar yang gagal menjawap soalan atau yang nakal.

Semasa dia bersara, dia telah diarak dengan kereta lembu.