Isnin, 6 Oktober 2014

Getah Keping



Tahun 60an adalah tahun-tahun dimana kehidupan kebanyakan penduduk Kepayang adalah susah termasuk keluarga Yop. Selain melanda bijih timah di sungai, mak Yop juga menoreh getah. Mak pernah menoreh getah Pak Din (rumah 2 tingkat warna putih bertiang biru). Hasil jualan getah akan dibahagi dua dengan Pak Din.

Subuh-subuh lagi Mak dah pergi. Bertemankan pelita minyak tanah yang diikat ke dahi, Mak meredah pekat malam ke kebun getah yang sunyi malah menyeramkan kalau tak kuat semangat. Sabar menoreh dari satu pokok ke satu pokok. Huu... Baru sekarang Yop dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan Mak Yop membantu abah demi menyara kami, anak-anaknya...

Tengahari baru mengangkit getah dan membawanya ke tempat memproses getah untuk dijadikan getah keping.

Lokasinya di belakang rumah Pak Din. Kena turun cerun sikit ke arah lembah. Kalau ke bawah lagi akan jumpa telaga; tempat aku, Nik dan Lemi selalu mandi. Kat situ juga ada paya yang banyak tumbuh paku pakis. Jauh sikit ke depan ada sungai tempat kami selalu mandi.

Susu getah yang sudah diangkit akan dituang ke dalam petak-petak tin. Kemudian dibubuh cuka getah dan dikacau perlahan-lahan hingga menjadi likat. Bila dah kering akan di lenyek-lenyekkan supaya ianya leper. Mulanya dilenyekmenggunakan tangan kemudian guna kaki.

Bila dah leper, getah keping ini akan dimasukkan ke dalam mesin penggelek (gambar atas). Mesin penggelek ini ada 2 jenis. Yang pertama guna untuk meleperkan getah hingga ke ketebalan yang diperlukan. Selepas puas hati dengan saiz ketebalan itu baru dipindahkan ke mesin satu lagi untuk gelekan berbentuk bunga. Di akhir menggelek akan di letakkan satu plet yang dah ditebuk huruf atau nombor (mungkin untuk menandakan kod getah itu).

Selepas siap digelek getah itu akan dibawa balik ke rumah dan dikeringkan.  Sebab itu bagi penoreh getah, setiap rumah akan ada penyidai getah yang diperbuat dari buluh panjang. Dan selalunya, kuku tangan dan kuku kaki penoreh getah akan buruk dan rosak penangan dari cuka getah yang digunakan.

Seingat Yop, penyidai getah kat rumah Opah  Yop ( Zaleha ) ada di bawah rumah (tentang penyidai getah ini, ada satu cerita yang menjadi kenangan aku sebenarnya. Nanti aku ceritakan).

Nak tahu kat mana rumah Opah Yop dulu?  Kalau dari rumah Yop menuju ke rumah Pak Din di kiri jalan, kemudian jumpa rumah Jet di kanan jalan maka selepas rumah Jet itulah rumah Opah. Sekarang rumah itu sudah tiada lagi. Ah... Itu satu kenangan lain pula!

Khamis, 2 Oktober 2014

Yop


Kali ini Yop tak bercerita tentang sejarah nama Yop. Yop percaya, ramai dari adik-adik Yop tak tau pun tentang ini.

Yop sebenarnya dilahirkan di Kampung Slim, Slim River. Maklumlah anak pertama Mak, mestilah dilahirkan di rumah emak kepada Mak yakni Opah di Slim walaupun sebenarnya rumah mak dan abah adalah di kampung Kepayang.

Nama Yop diberi oleh Tok Uda (kalau tak silap); sebab itulah ada sikit bau Arab. Oleh kerana Yop selalu sakit, Yop dipanggil dengan nama Toha sempena surah Toha dalam Al Quran. Tapi agaknya dek susah sangat, hari-hari nak sebut Toha akhirnya bertukar menjadi Ta'a.

Sebaliknya,  nama Ta'a itu menjadi lebih popular di Kampung Kepayang berbanding di Kampung Slim. Di Kampung Slim Yop digelar dengan nama Cho'ih (he.. he.. macam mana nak sebut, kena berguru dengan Yop..). 

Bila mula masuk sekolah barulah kawan-kawan panggil dengan nama Yop yang sebenarnya.