Ahad, 23 Februari 2014

Lawan Kemuncup

Rumah kami masa tahun-tahun 60an dulu boleh dikatakan di kelilingi hutan. Sebelah kanan dan belakang, kebun getah Wan Jaba. Kiri, dusun Opah Leha. Di depan, tanah  tali api.

Yop dengan kawan-kawan Yop pun dulu nakal juga tapi nakal kami cuma nakal cara anak kampung, tak macam anak-anak sekarang, nakal dengan cara bandar.

Permainan kami juga adalah bersumberkan dari hutan. Tak perlu minta duit dari abah untuk belikan. Cari je dalam hutan.

Salah satu permainan yang tak sangat popular pada Yop tapi begitu nostalgik ialah:


Memang menyeronokkan. Tapi kekadang memiangkan...

Rakit

Lebih kurang macam nilah ghopenyer...

Yop masih ingat lagi, masa kecil dulu. Rasanya, masa tu titi Kepayang belum ada. Nak pergi ke Pekan Kampung Simee kena nyeberang sungai. 

Yop masih ingat, nyeberang sungai kena naik rakit. Rakit itu di tambat pada tali supaya tak hanyut masa nak nyeberang.

Lokasi rakit ini ikut kata mak di tepi sungai tak jauh dari rumah Ja'a. Kalau tak salah, ada beberapa pokok ara sebesar beberapa pemeluk tumbuh di situ. Buah aranya selalu kelihatan terapung di bawa arus sungai.

Kekadang semasa berakit, akan ternampak bangkai khinzir hanyut terapung ke hilir. Kekadang tersekat-sekat di antara dahan-dahan kayu atau batu di tengah sungai.

Kalau Yop katakan, sungai Kepayang dulu ada rakit, maknanya air sungai dulu dalam. Ya, memang dalam dan jernih. Kekadang, ikut abang sedara tangkap ikan guna pistol ikan.

Ahad, 16 Februari 2014

Kerantung

kredit: My Criter

Masa kecil dulu Yop memang rajin ke masjid - Masjid Al Khairiah, Kampung Kepayang. Kalau bernasib baik, bila waktu sembahyang dah masuk, Yop akan diminta untuk mengetuk kerantung. Kekadang berebut-rebut giliran dengan kawan-kawan yang lain.

Nak mengetuknya pun ada caranya. Mesti masukkan alu ke dalam lubang. Ketuk kiri dan kanan dengan cepat lebih kurang setengah minit. Kemudian ketuk bahagian luar kerantung. Mula-mula dengan tempo yang perlahan. Kemudian percepatkan sedikit. Dan kembali perlahankan rentak bila hampir ke penghujungnya. Bila sampai ke penghujung ketukan, Ketukan itu mesti dibilang mengikut rakaat sembahyang yang akan di dirikan. Kalau Zohor, kena ketuk 4 kali menandakan 4 rakaat. Kalau Subuh ketuk cuma 2 kali sahaja menandakan 2 rakaat.

Yop agak kerantung ini mestilah dibuat dari kayu yang keras. Justeru itu ianya tahan lama walau diketuk berulang kali di setiap waktu.

Tak pasti samada kerantung itu masih tergantung di kawasan kolah. Ataukah dah dibuangkan?

Apapun, kenangan ini memang indah dan sayu bila diulang kenang. Masjid dan kerantung inilah sebenarnya antara elemen pendidikan yang akhirnya membentuk Yop seorang manusia seperti hari ini.